Ke Atas

Kenyataan Media : Kerja-Kerja Terowong Dan Jambatan Menjadi Fokus Utama Pembinaan Semula Projek ECRL

 

Dungun, Terengganu, 25 Julai: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini bernilai RM44 bilion, hari ini dilancarkan semula kerja-kerja pembinaannya dengan memberi keutamaan kepada kerja-kerja pembinaan terowong dan jambatan terutamanya di jajaran yang merentasi Dungun di Terengganu sehingga Mentakab di Pahang untuk 6 ke 12 bulan yang akan datang.

Fokus utama juga akan bertumpu kepada reka bentuk dan kerja-kerja fizikal bagi pembinaan terowong sepanjang 14.13 km di 23 lokasi serta kerja-kerja awalan untuk jambatan sepanjang 39.03 km di 65 lokasi disepanjang 223 km dari Dungun ke Mentakab dimana tiada sebarang perubahan jajaran dalam usaha penambahbaikan projek ECRL.

Kerja-kerja tanah dan pengorekkan telah bermula di beberapa buah terowong ECRL termasuklah Terowong Dungun yang berukuran 871 meter, Terowong Paka berukuran 1.1 km dan Terowong Kuantan yang berukuran 2.8 km. Selain itu, kerja-kerja pembersihan tapak dan cerucuk untuk pembinaan jambatan turut dijalankan di beberapa tapak ECRL terutamanya di kawasan persisiran pantai di Terengganu.

Projek ECRL telah disambung semula setelah Perjanjian Tambahan di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dimeterai pada 12 April 2019 di Beijing dengan kos yang lebih rendah iaitu sebanyak RM44 bilion berbanding kos asal projek sebanyak RM65.5 bilion.

Projek ECRL yang ditambahbaik kini merangkumi panjang jajaran 640 km melibatkan perubahan dari segi jajaran di antara Kota Bharu, Kelantan dan Dungun,Terengganu serta memperkenalkan jajaran Selatan baharu dari Mentakab, Pahang ke Port Klang, Selangor yang turut melalui Negeri Sembilan dan WP Putrajaya.

Projek ECRL ini menjangkakan pembinaan 30-40 buah terowong di sepanjang jajaran dari Kota Bharu ke Port Klang dengan terowong terpanjang iaitu 7 km yang akan dibina di kawasan Jelebu-Semenyih.  Projek ini juga melibatkan pembinaan jambatan kira-kira 100 km panjang secara keseluruhan.

Sejajar dengan penyambungan projek, kesemua tujuh buah kem induk, kem-kem satelit dan loji pengelompokan konkrit di Kelantan, Terengganu dan Pahang telah diaktifkan semula bagi memulakan pembinaan projek dengan penglibatan wargakerja tempatan yang dijangkakan 70% daripada keseluruhan tenaga kerja.

MRL akan menyerahkan Skim Keretapi Bersyarat untuk ECRL yang terlibat dengan perubahan dari segi jajaran kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk dipertimbangkan. Selain itu, Penilaian Awam dijangka akan bermula pada hujung tahun ini selama 3 bulan untuk orang awam menilai dan memberi maklumbalas terhadap cadangan projek.

ECRL merupakan sebuah infrastruktur nasional yang akan menghubungkan luar bandar dengan bandar-bandar serta menaiktaraf sistem pengangkutan awam di kawasan pendalaman di sepanjang jajaran yang merangkumi 640 km yang kini melalui lima buah negeri dan WP Putrajaya di Semenanjung Malaysia. 

Dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang rel dan tanda sokongan kepada Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE), MRL turut menyatakan Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) akan diteruskan dalam masa terdekat dengan struktur program yang ditambahbaik.

PLKI-ECRL yang baru akan turut terlibat dalam fasa operasi dan dianggarkan akan memberi manfaat kepada 5,000 pelatih tempatan berbanding 3,600 pelatih sebelum ini. Struktur baru akan lebih fokus kepada latihan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja warga Malaysia semasa fasa pembinaan projek ECRL sementara kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang rel terutamanya dalam bidang pengoperasian dan penyelenggaraan (P&P).

Majlis Perasmian Semula ECRL pada hari ini telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dimana beliau juga menyempurnakan gimik letupan bagi pembinaan Terowong Dungun yang berukuran 871 meter panjang. Majlis turut dihadiri dan dilancarkan bersama oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Duta Besar China ke Malaysia TYT Bai Tian.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman yang mewakili Menteri Besar Pahang, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri Kelantan, Abd Rahman Yunus yang mewakili Menteri Besar Kelantan, Naib Presiden CCCC Sun Ziyu, pegawai-pegawai tinggi dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri, ketua-ketua Agensi Kerajaan, ahli-ahli lembaga pengurusan dari MRL dan CCCC serta media tempatan dan antarabangsa.

Sebelum ini, pada Jun 2017, kelulusan Skim Keretapi ECRL bagi Fasa 1 yang merangkumi laluan 600 km dari Kota Bharu ke Gombak telah diberikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Pada masa yang sama, Laporan Impak Alam Sekililing (EIA) turut diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, Laporan Penilaian Impak Alam Sekililing dan Laporan Penilaian Impak Warisan akan disediakan sehubungan dengan perubahan jajaran ECRL dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang terlibat pada suku pertama tahun 2020.

Menurutnya lagi, kerja-kerja penyelidikan tanah dan kajian topografi telah bermula di jajaran Kota Bharu ke Dungun dan jajaran Selatan dari Mentakab ke Port Klang dalam usaha untuk mengukuhkan lagi jajaran dan meneruskan proses pengambilan tanah dibawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Kita telah memulakan proses pengambilan tanah mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah dari Dungun ke Mentakab yang merangkumi 1,700 lot. Malah, kebanyakkan lot di Pahang telah diwartakan oleh pihak berkuasa. MRL & CCCC juga telah bersedia untuk menjalankan kerja-kerja tanah, asas dan cerucuk di beberapa tapak pembinaan di sepanjang laluan 223 km bagi memastikan projek dapat disiapkan dalam masa tujuh tahun” tambahnya lagi.

Darwis turut mengulas mengenai Pra-Kelayakan Projek ECRL (Pre-Q) yang kini berada di fasa penilaian dan senarai pendek oleh “Pre-Q Evaluation Committee”. Sebanyak 1,321 dokumen diserahkan oleh syarikat kontraktor tempatan yang berpontensi dan akan dimaklumkan secara bertulis dalam beberapa minggu sekiranya mereka layak untuk terlibat dalam 40 peratus kerja-kerja sivil.

MRL, sebuah syarikat bertujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan adalah pemilik projek dan aset ECRL sementara CCCC adalah kontraktror kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL. Projek yang merangkumi jajaran sepanjang 640 km dijadualkan siap pada Disember 2026 dan akan menghubungkan Kota Bharu dan Putrajaya kira-kira dalam masa 4 jam.

 

– Tamat –

 

Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 samb. 5830 / rosmah@mrl.com.my) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 samb. 5835/ mwyong@mrl.com.my)

 

Muat Turun Kenyataan Media

Pautan Berkaitan