Ke Atas

Kenyataan Media : Pelawaan Tender Untuk Kerja-Kerja Sivil Projek ECRL Bermula Suku Keempat 2019

 

Kuala Lumpur, 2 Ogos: Pelawaan tender untuk kontraktor tempatan bagi pakej kerja-kerja sivil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula pada suku keempat tahun 2019 setelah 331 syarikat kontraktor Malaysia disenarai pendek sebagai penender berpotensi melalui program Pra Kelayakan (Pre-Q) baru-baru ini.

Panggilan penyerahan dokumen Pre-Q telah dibuka pada 29 dan 30 May 2019 yang lalu oleh China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dalam usaha mengenalpasti subkontraktor tempatan yang berpontensi untuk mengambil bahagian dalam 40 peratus kerja-kerja sivil (tidak termasuk kerja-kerja terowong) bagi projek ECRL. Syarikat yang berdaftar dengan CIDB dari Gred G3 hingga G7 dan yang mempunyai minimum skor 2 Bintang telah dipelawa dan digalakkan menyertai program Pre-Q ini.

Jawatankuasa Penilaian Pre-Q yang diwakili oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan CCCC telah menyenarai pendek 331 atau 25.1 peratus daripada 1,321 buah syarikat kontraktor Malaysia yang berpotensi menjadi penender-penender ECRL setelah menilai latar belakang syarikat, pengurusan kewangan, kakitangan teknikal serta loji dan peralatan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam program Pre-Q tersebut.

Daripada 331 syarikat pembinaan yang lulus saringan dan tersenarai sebagai penender berpotensi, syarikat yang berkategori gred CIDB G7 mewakili jumlah terbesar iaitu 164 buah syarikat disusuli dengan gred CIDB G4 iaitu sebanyak 69 buah syarikat. Selebihnya merupakan dari Gred CIDB G3 sebanyak 45 buah syarikat manakala G5 dan G6 masing-masing sebanyak 33 dan 20 buah syarikat.

Jawatankuasa Penilaian Pre-Q juga turut mengenalpasti 234 atau 70.7 peratus daripada 331 syarikat pembinaan yang dipilih merupakan syarikat milik Bumiputera.

Kesemua syarikat yang telah berjaya disenarai pendek akan menerima maklumbalas secara bertulis sebelum akhir Ogos 2019 ini daripada CCCC yang merupakan kontraktror kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL yang merangkumi panjang 640 km.

Projek ECRL telah disambung semula setelah Perjanjian Tambahan diantara MRL dan CCCC dimeterai pada 12 April 2019. Perjanjian yang ditambahbaik ini melibatkan kos projek yang lebih rendah iaitu sebanyak RM44 bilion berbanding kos asal projek sebanyak RM65.5 bilion.

Sementara itu, peratusan bagi syarikat pembinaan tempatan untuk menyertai kerja-kerja sivil bagi projek ECRL turut meningkat kepada 40 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

Sebelum penggantungan projek ECRL, pihak CCCC ada melantik syarikat tempatan yang terdiri daripada pembekal, kontraktor, dan perunding bagi kerja-kerja awalan ECRL. Kontrak dan perlantikan ini bagaimanapun telah digantung berikutan penggantungan projek ECRL pada 3 Julai 2018.

Justeru, dengan penyambungan semula projek ECRL, pihak CCCC akan menghormati semua perjanjan dan pesanan pembelian yang dikeluarkan untuk menyambung semula kerja-kerja yang telah dihentikan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRLSB, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, pemulaan bagi pakej tender untuk 40 peratus kerja-kerja sivil (tidak termasuk kerja-kerja terowong) akan melibatkan jajaran dari Dungun ke Mentakab yang merangkumi panjang 223 km di mana jajaran tersebut telah dimuktamadkan. Namun begitu, pelawaan tender kepada kontraktor-kontraktor tempatan akan diteruskan sepanjang fasa pembinaan projek ECRL.

Menurutnya lagi, tender-tender di masa hadapan akan melibatkan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun serta jajaran Selatan baru antara Mentakab dan Port Klang apabila muktamad kelak. Projek yang dijangka siap pada tahun 2026 ini juga berkait rapat kepada penglibatan yang efektif oleh kontraktor-kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil termasuk kerja-kerja tanah, asas, struktur, penambahbaikan tanah dan jalan, apabila siap pada hujung tahun 2026 nanti.

MRL, sebuah syarikat bertujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan adalah pemilik projek dan aset ECRL. Projek 640 km ini dijadualkan siap pada bulan Disember 2026 dan dijangka akan menghubungkan Kota Bharu ke Putrajaya dalam masa 4 jam.

 

-Tamat-

 

Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 samb. 5830 / rosmah@mrl.com.my) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 samb. 5835/ mwyong@mrl.com.my)

 

Muat Turun Kenyataan Media

Pautan Berkaitan