Ke Atas

Projek Ecrl Tarik Minat Meluas Entiti Pembinaan Malaysia

Kuala Lumpur, 12 Jun: Lebih dari 1,000 syarikat pembinaan Malaysia di seluruh negara mensasarkan peluang mendapatkan sebahagian daripada 40 peratus kerja-kerja sivil daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM44 bilion berikutan tamatnya program pendaftaran Pra-Kelayakan (Pra-Q) untuk mengenal pasti subkontraktor berpotensi.

Sejumlah 1,321 penyertaan daripada syarikat-syarikat berdaftar CIDB telah diterima oleh kontraktor utama ECRL, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) semasa program Pra-Q pada 29 & 30 Mei 2019.  

Penyertaan syarikat pembinaan gred G7 CIDB mendahului gred-gred lain dengan penyertaan sebanyak 859 syarikat atau 65.0 peratus dari jumlah keseluruhan pendaftaran. Ini diikuti dengan kategori Gred G5 dengan 134 penyerahan dan kategori Gred G4 dengan 132 penyerahan. Baki terdiri daripada Gred G3 dan Gred G6 dengan 104 penyerahan dan 92 penyerahan masing-masing.

Penyertaan Bumiputera juga amat menggalakkan. Program penyerahan dokumen Pra-Q ECRL yang berlangsung selama 2 hari itu telah merekodkan penyertaan sejumlah 994 syarikat kejuruteraan dan pembinaan Bumiputera yang mewakili 75.25 peratus dari jumlah keseluruhan pendaftaran.

Bilangan penyertaan yang menggalakkan dalam program Pra-Q ini juga secara tidak langsung menzahirkan sokongan berterusan terhadap projek ECRL yang telah ditambahbaik dengan jajaran relnya merentasi bukan sahaja negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu, dan Pahang malah Negeri Sembilan, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya juga.

Semangat dan keterujaan yang dizahirkan oleh syarikat-syarikat pembinaan Malaysia terutamanya dari kumpulan gred G7 CIDB amat menonjol dengan adanyan peningkatan peratusan penyertaan kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil ECRL yang telah ditingkatkan daripada 30 peratus ke 40 peratus seperti dalam Perjanjian Tambahan (SA) antara MRL dan CCCC yang ditandatangani 12 April lalu.

Berdasarkan penyertaan kontraktor tempatan yang memberangsangkan dalam program 2 hari Pra-Q ECRL dengan kontraktor Bumiputera menjadi sebahagian besar daripada mereka yang mengambil bahagian, ianya menunjukkan kontraktor tempatan kini lebih bersedia untuk membuktikan kesanggupan dan keupayaan mereka untuk menyertai projek-projek mega.

MRL, sebagai pemilik ECRL, amat menggalakkan industri tempatan pembinaan tempatan untuk proaktif dalam merebut sebarang peluang menyertai projek ECRL bukan hanya sebagai kontraktor tetapi juga sebagai pembekal, perunding dan skop kerja berkaitan yang lain. Adalah menjadi harapan kami agar kontraktor tempatan juga dapat memainkan peranan mereka dan dapat menunjukkan keupayaan, pengetahuan teknikal dan menawarkan perkhidmatan mereka secara kompetitif.

“Kami juga berharap Projek ECRL akan menjadi contoh projek Kerajaan yang dapat memaparkan keupayaan kontraktor tempatan untuk bekerjasama dengan kontraktor antarabangsa dalam melaksanakan dan memenuhi piawaian tinggi projek infra berskala besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MRL Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.

“Dengan penyertaan kontraktor tempatan, ianya tidak hanya bertindak sebagai rangsangan kepada sektor pembinaan tempatan tetapi juga sebagai pemangkin dalam pemindahan pengetahuan dan teknologi memandangkan Projek ECRL adalah antara projek kejuruteraan dan pembinaan yang paling mencabar di Malaysia,” tambah Darwis.

“Oleh itu, kami berharap kontraktor-kontraktor tempatan akan memanfaatkan pemindahan pengetahuan dan teknologi yang secara langsung akan memaksimumkan kesan komersial pelaburan Kerajaan Malaysia serta memfokus kepada peningkatan daya saing dan kualiti produk serta perkhidmatan industri pembinaan Malaysia,” kata Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd En. Bai Yinzhan.

Rentetan dari program Pra-Q ECRL ini, MRL akan bekerjasama rapat dengan CCCC dalam proses penilaian dan penyenaraian pendek syarikat yang berpotensi menjadi penender bagi pakej kerja sivil ECRL. Keputusan Pra-Q bagi syarikat-syarikat yang berjaya disenarai pendek pula akan dimaklum secara bertulis oleh CCCC.

MRL, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pemilik projek dan aset ECRL. Projek yang merangkumi jajaran sepanjang 640-km dijadualkan siap pada Disember 2026, dan perjalanan dari Kota Bharu ke Putrajaya akan mengambil masa sekitar 4 jam.

– Tamat –

 

Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 ext 5830 / rosmah@mrl.com.my) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 ext 5835 / mwyong@mrl.com.my).

 

MUAT TURUN SIARAN AKHBAR

Pautan Berkaitan