Top

Daim calon terbaik ketuai rundingan ECRL, kata Guan Eng

GEORGE TOWN: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyokong pelantikan Daim Zainuddin mengetuai rundingan semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan China, mengatakan penasihat kerajaan itu adalah individu terbaik untuk tugas tersebut.

Lim memberitahu FMT, sebagai individu bukan menteri, Daim bebas daripada protokol antara kerajaan dan dapat membincangkan topik itu secara meluas.

Beliau berkata pengalaman Daim bertahun-tahun sebagai “perunding mahir” membuatkannya individu terbaik untuk menjaga kepentingan Malaysia.

“Ia merupakan pendekatan konstruktif yang diambil perdana menteri untuk menghantar Daim untuk berunding, kerana dia seorang perunding yang berkebolehan dan mahir.

“Dia juga penasihat yang dipercayai perdana menteri. Selepas rundingan itu, Daim boleh menasihati Kabinet dan Kabinet akan membincangkan apa yang harus dilakukan dan bagaimana meneruskannya,” katanya.

Semalam, perdana menteri menjelaskan kenapa Putrajaya memilih Daim, bukannya Lim untuk mengetuai rundingan semula projek ECRL yang digantung sejak Julai tahun lalu.

Mahathir berkata, kerajaan perlu memilih wakil yang boleh diterima negara lain dan ada sekatan dalam pemilihan calon sesuai untuk memikul tugas itu.

Mahathir berkata demikian di Dewan Rakyat apabila ditanya mengapa Lim tidak mengetuai rundingan semula ECRL.

“Kalau projek ini diturunkan skalanya, iaitu diperkecilkan atau dipendekkan, maka kita dapat kemudahan yang sepatutnya bagi negeri-negeri di pantai timur tanpa belanja wang dan hutang yang terlalu banyak,” kata Mahathir.

Januari lalu, Reuters melaporkan China sedia mengurangkan harga AS$20 bilion (RM81 bilion) bagi ECRL dan rundingan kini “di peringkat akhir”.

ECRL digantung pada Julai tahun lalu di tengah-tengah rancangan Putrajaya untuk membatalkannya. Januari lalu, Mahathir berkata projek itu hanya ditangguhkan sementara menunggu rundingan lanjut mengenai harga.

Beliau berkata projek itu menjadi beban kepada kerajaan dan membatalkannya adalah alternatif yang terbaik walaupun pampasan yang besar perlu dibayar.

Source: www.freemalaysiatoday.com

Related Links