Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, atas sebab itu masyarakat luar bandar tidak perlu khuatir sekiranya jajaran baharu ECRL tidak melalui beberapa kawasan tersebut.

 

“Bukan itu (ECRL) sahaja untuk kita membangunkan luar bandar, sebelum keputusan projek tersebut diteruskan atau tidak, pembangunan luar bandar tetap diteruskan.

“Kita ada pelan pembangunan luar bandar dan alhamdulillah minggu lepas sudah diluluskan Kabinet dan fokus utama terhadap 28 kawasan daerah termiskin di negara ini,” katanya kepada pemberita di Kampung Pandan, di sini hari ini.

Terdahulu, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Gabriel, di sini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan fasa 1 dan 2 dikurangkan kepada RM44 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Jajaran baharu untuk ECRL adalah 40 kilometer lebih pendek bermula dari Kota Bharu, Kelantan melalui Mentakab, Pahang – Jelebu – Kuala Klawang, Negeri Sembilan – Bangi / Kajang – Putrajaya – Pelabuhan Klang, Selangor.

Butiran menyeluruh mengenai ECRL termasuk hentian di Terengganu akan diumumkan secara rasmi oleh Jabatan Perdana Menteri, Isnin ini. – UTUSAN ONLINE