KUALA TERENGGANU 16 April – Terengganu amat mengalu-alukan keputusan kerajaan Pusat meneruskan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jajaran asal khususnya melibatkan negeri itu sekali gus memberi banyak manfaat kepada rakyatnya.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika meluahkan perkara itu berkata, kerajaan negeri turut menyambut baik peningkatan dari 30 peratus kepada 40 peratus penyertaan kontraktor tempatan yang terlibat dalam projek mega itu.
Menurutnya, apa yang lebih penting adalah sejauh mana penglibatan golongan kontraktor berkenaan khususnya membabitkan projek laluan serta jajaran di Terengganu yang turut merangkumi pembinaan enam buah stesen ECRL.
“Kita alu-alukan keputusan kerajaan Pusat meneruskan ECRL ini dan apa yang penting selepas ini bagaimana kita ingin pastikan kontraktor bumiputera terutama dari Malaysia dan khususnya untuk laluan di Terengganu yang terlibat dalam projek pembinaan ini.
“Kita juga alu-alukan peningkatan daripada 30 kepada 40 peratus penyertaan kontraktor tempatan ini dan kita harap supaya peluang ini diambil oleh kontraktor di Terengganu khususnya supaya sama-sama dapat menyumbang,” katanya.
Menteri Besar menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas) di Kediaman Menteri Besar di Seri Iman di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE