KUALA LUMPUR: Tawaran tender untuk kontraktor tempatan bagi pakej kerja-kerja sivil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula pada suku keempat ini.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam satu kenyataan menjelaskan, sebanyak 331 syarikat kontraktor Malaysia disenarai pendek sebagai penender berpontesi melalui program Pra Kelayakan (Pre-Q) baru-baru ini.
Katanya, panggilan penyerahan dokumen Pre-Q dibuka pada 29 dan 30 Mei lalu oleh China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dalam usaha mengenalpasti subkontraktor tempatan yang berpontensi mengambil bahagian dalam 40 peratus kerja-kerja sivil (tidak termasuk kerja-kerja terowong) bagi projek ECRL.
“Syarikat yang berdaftar dengan CIDB dari Gred G3 hingga G7 dan yang mempunyai minimum skor 2 Bintang telah dipelawa dan digalakkan menyertai program Pre-Q ini.
“Jawatankuasa Penilaian Pre-Q yang diwakili oleh MRL dan CCCC telah menyenarai pendek 331 atau 25.1 peratus daripada 1,321 syarikat kontraktor Malaysia yang berpotensi menjadi penender-penender ECRL selepas menilai latar belakang syarikat, pengurusan kewangan, kakitangan teknikal serta loji dan peralatan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam program Pre-Q berkenaan,” katanya.
MRL berkata, daripada 331 syarikat pembinaan yang lulus saringan dan tersenarai sebagai penender berpontensi, syarikat yang berkategori gred CIDB G7 mewakili jumlah terbesar iaitu 164 syarikat disusuli dengan gred CIDB G4 iaitu sebanyak 69 syarikat.
Selebihnya, ia berkata adalah Gred CIDB G3 sebanyak 45 syarikat manakala G5 dan G6 masing-masing sebanyak 33 dan 20 syarikat.
“Jawatankuasa Penilaian Pre-Q juga turut mengenalpasti 234 atau 70.7 peratus daripada 331 syarikat pembinaan yang dipilih adalah syarikat Bumiputera.
“Semua syarikat yang berjaya disenarai pendek akan menerima maklum balas secara bertulis sebelum akhir Ogos ini daripada CCCC,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pemulaan bagi pakej tender untuk 40 peratus kerja-kerja sivil (tidak termasuk kerja-kerja terowong) akan membabitkan jajaran dari Dungun ke Mentakab merangkumi panjang 223 kilometer (km), yang mana jajaran berkenaan telah dimuktamadkan.
Namun begitu, katanya pelawaan tender kepada kontraktor-kontraktor tempatan akan diteruskan sepanjang fasa pembinaan projek ECRL.
“Tender-tender pada masa depan akan membabitkan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun serta jajaran selatan baharu antara Mentakab dan Port Klang apabila dimuktamadkan kelak,” katanya.
Projek ECRL disambung semula setelah Perjanjian Tambahan di antara MRL dan CCCC dimeterai pada 12 April lalu.
Perjanjian yang ditambah baik itu membabitkan kos projek yang lebih rendah iaitu sebanyak RM44 bilion berbanding kos asal projek sebanyak RM65.5 bilion.
Sementara itu, peratusan bagi syarikat pembinaan tempatan untuk menyertai kerja-kerja sivil bagi projek ECRL turut meningkat kepada 40 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.
Source : www.bharian.com.my