Ke Atas

6,500 KAKITANGAN PROJEK ECRL BAKAL TERIMA SUNTIKAN VAKSIN DI PPVIN KEM-KEM INDUK 

  

Kuala Lumpur, 14 Ogos: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut mengambil tindakan proaktif dalam Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dengan menggunakan tiga (3) buah kem induk ECRL di negeri-negeri Pantai Timur sebagai Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN). Pelaksanaan inisiatif ini bagi memberi suntikan vaksin secara eksklusif kepada lebih kurang 6,500 kakitangan dan pekerja tapak binaan dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi COVID-19 dalam sektor pembinaan dan pengangkutan. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, kem-kem induk ECRL di Dungun dan Chukai, Terengganu serta Maran, Pahang akan beroperasi sebagai PPVIN selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam memastikan sektor ekonomi kembali pulih menjelang hujung tahun ini. 

“MRL, sebagai pemilik projek ECRL, bersyukur dengan keputusan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang telah meluluskan permohonan cadangan penggunaan tiga kem induk ECRL untuk beroperasi sebagai PPVIN selain turut menyediakan bekalan vaksin yang mencukupi untuk tujuan vaksinasi kakitangan ECRL. Kelulusan tersebut membolehkan pemberian suntikan dos pertama kepada pekerja-pekerja ECRL pada bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Datuk Isham Ishak memaklumkan bahawa MRL bersama-sama dengan kontraktor utama projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan menanggung semua kos proses vaksinasi bagi pekerja-pekerja ECRL termasuk caj penyediaan PPVIN dan yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan pegawai-pegawai perubatan terlibat. 

 MRL sebelum ini telah mengutus permohonan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan hasrat projek ECRL untuk mengambil bahagian dalam Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dan pada masa yang sama turut mencadangkan kem-kem induk ECRL digunakan sebagai PPVIN. 

“Projek ECRL berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberikan vaksin percuma kepada rakyat dan pada masa yang sama memberi peluang kepada projek ECRL untuk meningkatkan kesedaran vaksinasi dalam kalangan tenaga kerjanya yang terdiri daripada kakitangan MRL, CCC-ECRL, sub kontraktor dan pembekal” tambah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia. 

Proses vaksinasi dijadualkan akan dilaksanakan di Kem Induk ECRL Dungun pada 16-18 Ogos 2021 dan di Kem Induk ECRL Chukai pada 16-17 Ogos 2021. Sementara itu, proses vaksinasi untuk pekerja-pekerja ECRL di Kem Induk ECRL Maran akan dilaksanakan dalam masa terdekat. 

MRL dan CCC-ECRL sedar akan pentingnya bagi semua kakitangan projek ECRL mendapat imunisasi secepat mungkin kerana ianya akan memberi impak yang positif terhadap kerja-kerja pembinaan yang kini bertumpu di 164 lokasi utama termasuk pengorekan 10 buah terowong. Bilangan lokasi utama ini dijangka akan meningkat kepada 338 lokasi termasuk pengorekan 27 buah terowong apabila pembinaan ECRL mencapai kemuncak pada tahun 2022. 

Projek ECRL akan menjadikan vaksinasi COVID-19 sebagai perkara wajib untuk seluruh tenaga kerjanya dan sebagai pra-syarat bagi pekerja baru yang bekerja dibawah projek ini pada masa akan datang. Usaha ini adalah selari dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mensasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini untuk mendapat vaksinasi lengkap menjelang akhir bulan Oktober 2021. 

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala CCC-ECRL merupakan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC). Dijadual siap sepenuhnya pada bulan 

Disember 2026, projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel 665-km akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. ECRL menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam masa 4 jam. 

Muat Turun Kenyataan Akhbar

Pautan Berkaitan