KUALA LUMPUR – Sebanyak 80 peratus daripada 1,800 jawatan yang bakal ditawarkan apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula beroperasi pada Januari 2027 akan diisi oleh rakyat Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu merupakan syarat yang ditetapkan oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam usaha memastikan lebih ramai tenaga kerja tempatan terbabit secara langsung dalam fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) projek mega bernilai RM50.3 bilion itu.
“Pekerja ini akan terdiri daripada pelbagai peringkat kemahiran, sama ada yang berpengalaman atau baru, bagi memastikan operasi ECRL berjalan lancar dan berkesan,” katanya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Peluang Pekerjaan Fasa O&M ECRL, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan fasa O&M turut menyaksikan pembangunan bakat tempatan melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang memberi peluang latihan dan pekerjaan kepada 3,200 individu dalam tempoh beberapa tahun.
“Sebagai permulaan, seramai 210 pelatih rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang akan dihantar ke Liuzhou, China bagi menjalani latihan intensif selama setahun.
“Kumpulan pertama melibatkan 102 pelatih akan berlepas secara berperingkat bermula 15 Mei ini. Mereka akan dilatih dalam aspek teknikal dan bukan teknikal meliputi pembelajaran teori dan latihan amali,” katanya lagi.
Loke berkata, antara jawatan yang ditawarkan selepas tamat latihan termasuk pembantu atendan stesen, juruteknik isyarat, pembantu pemandu tren dan juruteknik talian atas.
“Apa yang membanggakan, semua pelatih dijamin pekerjaan dengan ECRL selepas menamatkan latihan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kemajuan pembinaan keseluruhan projek ECRL yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai 82.45 peratus setakat April lalu.
“Ini menunjukkan perkembangan positif dan kita yakin ECRL dapat mula beroperasi seperti yang dirancang pada Januari 2027,” katanya lagi.
Sumber: https://malaysiatribune.news/