KUALA LUMPUR 23 Okt – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terus membuka ruang dan peluang kepada kontraktor kecil Bumiputera di seluruh negara apabila seramai 85 kontraktor G1 dan G2 berjaya disenarai pendek untuk menyertai Majlis Cabutan Undi Pakej Kerja Bumiputera bagi pelaksanaan kerja-kerja kecil di 15 stesen ECRL di sepanjang jajaran Pantai Timur.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, langkah itu mencerminkan komitmen syarikat dan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. [CCC(ECRL)] dalam memperkukuh penyertaan kontraktor Bumiputera tempatan serta memastikan manfaat ekonomi projek mega bernilai RM50.27 bilion itu dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat setempat.
Majlis cabutan undi pertama berlangsung di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean
Tengku Feissal, melibatkan pemilihan kontraktor Bumiputera G1 dan G2 bagi dua stesen di negeri itu.
Antara skop kerja yang ditawarkan termasuk pemasangan papan tanda, penyediaan perabot jalan,
pemasangan pagar, serta kerja-kerja landskap di kawasan sekitar stesen ECRL.
Bagi negeri lain, majlis cabutan undi akan diadakan di Terengganu pada 29 Oktober dan Pahang pada 30 Oktober, manakala proses bagi negeri Selangor sedang dijalankan dan dijangka selesai sebelum akhir November 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pelaksanaan majlis cabutan undi itu membuktikan kesungguhan MRL dan CCC(ECRL) dalam memperkasakan kontraktor kecil Bumiputera di sepanjang jajaran ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
“Penglibatan kontraktor kecil Bumiputera bukan sahaja memberi impak ekonomi kepada komuniti setempat, malah berperanan penting dalam memperkasa tenaga kerja mahir tempatan yang mampu memacu masa depan industri pembinaan negara.
“MRL dan CCC(ECRL) akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan lebih banyak peluang kontrak disalurkan kepada kontraktor Bumiputera sepanjang tempoh pembinaan projek ini, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengutamakan penyertaan tempatan dan Bumiputera dalam projek nasional strategik,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada peringkat awal ECRL, Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, dengan kerjasama Pertubuhan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), mencadangkan sejumlah 4,709 kontraktor Bumiputera gred G1 dan G2 bagi tujuan penilaian tender awal.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 448 kontraktor kecil Bumiputera disenarai pendek melalui proses saringan yang telus dan berintegriti, bagi memastikan peluang penyertaan diagihkan secara adil dan saksama.
Kemudian MRL, selaku pemilik projek, bersama CCC(ECRL) memperluas proses penilaian tender dengan mempelawa 348 syarikat kontraktor tempatan untuk mengambil bahagian dalam kerja[1]kerja berkaitan pembinaan stesen ECRL.
Hasil daripada proses penilaian tersebut, sebanyak 85 kontraktor Bumiputera gred G1 dan G2 yang berdaftar di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang telah berjaya dipilih.
Setakat September 2025, pembinaan Projek ECRL sepanjang 665 kilometer telah mencapai kemajuan 88.08%, dengan jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijadual siap Disember 2026 dan mula beroperasi Januari 2027.
Sementara itu, Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
Projek mega ini turut melibatkan 40% penyertaan kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil dengan nilai kontrak dianggarkan mencecah RM10.8 bilion, sekali gus menjadikannya antara pemangkin utama pembangunan ekonomi wilayah dan peningkatan kapasiti industri pembinaan Bumiputera.
Sumber: www.dagangnews.com