Ke Atas

Anwar terima kasih pada Kelantan atas kerjasama untuk ECRL

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan betapa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi pemangkin dan pencetus kepada pembangunan bagi negeri-negeri yang dianggap terpisah daripada perkembangan pusat di Lembah Klang.

Menyifatkan ECRL sebagai projek raksasa, katanya, kerajaan negeri harus bersama-sama memanfaatkan kemudahan pengangkutan yang ada selain mencari kaedah baru bagi mencetuskan pelaburan baru.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mengikuti perkembangan kemajuan projek ECRL dan Kelantan mencatatkan rekod yang baik kerana memberi kerjasama dan proses pengambilan tanah yang dipercepatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL di Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu Anwar berkata dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebelum siap projek ECRL, perancangan teliti perlu dirancang bagi memastikan ada corak perubahan lebih ketara di Pantai Timur khususnya Kelantan.

“Jadi sebab itu tindakan segera lebih agresif untuk menarik pelabur dengan menjamin insentif baru serta proses kelulusan yang lebih cepat.

“Antara hal yang dikeluhkan oleh ECRL pada awalnya dan pelabur yang kita berunding ialah mereka mahu melabur dan insentif pun ada, namun kelulusan yang lambat menjadi masalah.

“Saya percaya jika kerajaan negeri dan kerajaan pusat menjalin hubungan lebih akrab, ia akan memudahkan projek yang memberi menfaat kepada negeri termasuk Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan sama perdana menteri turut menafikan dakwaan bahawa projek ECRL dimonopoli oleh syarikat dari China sepenuhnya. 

Kata Anwar lebih 2,100 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal sejak 2017 hingga kini.

“Ada andaian mengatakan projek ini dimonopoli sepenuhnya oleh China, ia tidak benar sepenuhnya,” katanya.

Sumber : Malaysiakini.com

Pautan Berkaitan