KUALA LUMPUR, 26 Mac — Keputusan Exco Selangor untuk mempertahankan pendiriannya untuk tidak bersetuju dengan cadangan penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya akan melewatkan projek mega melibatkan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang) projek dan ia berpotensi mengubah tarikh siap projek secara keseluruhan yang dijangka pada Disember tahun 2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Exco Selangor harus mempertimbangkan semula keputusannya dan melihat kelebihan untuk menyiapkan ECRL serta penyelesaian dan pelan mitigasi yang telah dilaksanakan untuk menangani kebimbangan mengenai kesan projek itu terhadap persekitaran dan sosial.
“MRL mahu menegaskan bahawa pembinaan ECRL adalah demi kepentingan nasional dan bukan untuk kepentingan mana-mana negeri tertentu.
“Ia adalah pengubah keadaan dan pemangkin pertumbuhan sosioekonomi yang merapatkan jurang ekonomi antara Pantai Barat dan Pantai Timur di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco itu sangat mengecewakan terutama selepas MRL sebagai pemilik projek telah melakukan banyak sesi libat urus dengan kerajaan negeri Selangor dan agensinya sejak lapan lepas dari bulan Jun, 2020 hingga Februari tahun ini mengenai pelan untuk kembali kepada penjajaran asal.
“Sebenarnya, libat urus berkenaan telah mendapat maklum balas yang membina dari jabatan dan agensi teknikal Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.
MRL juga telah menangani semua isu yang dibangkitkan oleh pelbagai agensi kerajaan negeri untuk kembali kepada penjajaran semula ECRL dan telah memberikan penyelesaian dan mitigasi yang melibatkan perlindungan alam sekitar, meminimumkan kesan sosial dan meningkatkan kesalinghubungan kereta api, katanya.
“Sebagai contoh, MRL memberikan jalan penyelesaian untuk masalah mengenai melindungi Permatang Kuarza Gombak dengan mereka bentuk penjajaran yang merentasi jalan yang sedia ada untuk ECRL melalui permatang kuarza.
“Oleh itu, MRL terkejut kerana Exco itu telah mengenepikan perincian diberikan MRL, sama ada kepada pelbagai agensi kerajaan negeri atau Majlis Tindakan Ekonomi Selangor mengenai kelebihan jelas penjajaran asal ECRL tersebut,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor menyokong projek ECRL tetapi mempertahankan pendiriannya supaya rangkaian kereta api itu melintasi menggunakan laluan selatan melintasi Negeri Sembilan dan Putrajaya daripada penggunaan laluan utara melalui Gombak dan Serendah seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini .
Sumber : www.bernama.com