Pengerusi Gerakan Belia 4B (Malaysia) negeri, Shahrul Fadhel Mohd. Aziz berkata, ini kerana Tumpat merupakan salah satu daerah termiskin di negara ini yang amat memerlukan perhatian.
Justeru, beliau meminta kerajaan supaya melihat kembali asas projek ECRL iaitu membangunkan daerah-daerah di negeri Pantai Timur yang agak jauh ketinggalan.
“Sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini, Tumpat(Pengkalan Kubor) adalah stesen bermulanya di Kelantan dan tawaran itu disambut dengan penuh impian dalam membina masa depan belia Kelantan akan hasil limpah daripada pelbagai impak projek ECRL itu nanti.
“Namun, ianya cukup mengecewakan kami apabila jajaran ini diubah tanpa mengambil pandangan umum dalam hal ini terutama pendapat “orang muda” yang mana merekalah yang akan mendapat manfaat secara langsung kesan pembangunan ini.
“Bukankah pembinaan ECRL ini untuk Rakyat dan adalah perlu pihak kerajaan juga mendapat pandangan kami sebagai golongan belia dalam membuat keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahrul Fadhel berkata, sempena Hari Pekerja yang Bertemakan “Pekerja Amanah, Aspirasi Negara”, pihaknya berharap kerajaan juga memimikirkan peluang pekerjaan kepada golongan belia di negeri ini.
“Sudah tentu dengan adanya projek mega ECRL ini peluang pekerjaan kepada “kami” bakal terbuka luas.
“Maka perlulah projek ini disemak dan dikaji dengan lebih teliti agar benar-benar mencapai matlamat asalnya supaya pelaburan yang besar ini mampu memberikan kebaikan kepada semua pihak dalam merasai kesan pembangunan yang mampan daripada ECRL,” katanya.
Tambahnya, gesaan itu dibuat rentetan daripada usul tergempar yang dibangkitkan oleh Belia 4B pada Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Kelantan kali ke 58 baru-baru ini yang menyokong penuh projek ECRL dengan memohon supaya disambung sehingga ke Pengkalan Kubor. – UTUSAN ONLINE