Ke Atas

Beri justifikasi ECRL manfaatkan NS – SPR

SEREMBAN: Kerajaan perlu memberi justifikasi sama ada pengumuman perubahan projek Laluan Rel Pantai (ECRL) yang dikatakan memanfaatkan Negeri Sembilan bukan bertujuan meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata pengumuman projek itu perlu dinyatakan sebagai kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Katanya, orang ramai yang berasakan pengumuman sedemikian menyalahi peraturan pilihan raya, boleh membuat laporan supaya pihak berkuasa boleh melakukan siasatan.

“Ada aduan netizen mengenai kerajaan, bagaimanapun ini bukannya Pilihan Raya Umum (PRU) yang mana Parlimen dibubarkan, tetapi adalah PRK dan kerajaan masih ada serta melakukan aktiviti berkaitan.

“Jika perkara ini dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), maka pihak kerajaan yang menganjurkan aktiviti itu perlu memberi justifikasi untuk membela diri dan menjelaskan ia bukan untuk meraih undi semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Balai Polis Rantau, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam ceramahnya pada kempen PRK DUN Rantau memberi bayangan projek ECRL akan diteruskan sekiranya kos pembinaan dapat dikurangkan sehingga RM35 bilion daripada kos awal RM66 bilion.

Guan Eng turut memberi bayangan jajaran sistem rel itu akan berubah dan membawa manfaat untuk Negeri Sembilan.

Azhar berkata, hanya mahkamah boleh memutuskan sama ada pengumuman Guan Eng menyalahi peraturan atau tidak.

“Apa yang saya cakap sama ada tindakan itu salah atau tidak adalah tidak relevan dan saya tidak mahu ke kenyataan yang saya keluarkan mempengaruhi pengundi.

“Saya beranggapan oleh kerana mereka berbuat demikian, semestinya mereka berfikiran bukan untuk meraih undi kerana jika untuk raih undi, kerajaan tidak akan umumkan,” katanya.

Sumber: www.bharian.com.my

Pautan Berkaitan