Ke Atas

CCC-ECRL dan MRL tawar bantuan banjir melalui kerja-kerja pembersihan bandar dan pengangkutan barangan keperluan

(Kuala Lumpur, 11 Januari 2021) – Berikutan banjir berterusan yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), selaku kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), mengambil langkah proaktif menyediakan bantuan kepada komuniti yang terlibat.

CCC-ECRL dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik projek dan aset ECRL telah berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pahang yang terletak di Maran, Temerloh dan Kuantan bagi menawarkan bantuan kepada mangsa banjir.

Sejak 5 Januari, pejabat-pejabat CCC-ECRL di Maran telah menyediakan pengangkutan dan bekalan makanan kepada pusat bantuan banjir, dan menyediakan tenaga kerja dan mesin seperti jentera pengorek bagi membantu usaha pembersihan bandar Maran. CCC-ECRL juga telah membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) mengepung jalan-jalan rosak di Maran bagi memastikan trafik yang selamat di kawasan-kawasan yang dilanda banjir. Di Temerloh pula, CCC-ECRL telah menyediakan lori untuk mengangkut bekalan dan peralatan kepada pusat bantuan banjir dan kawasan-kawasan sekitar.

“Pejabat dan kakitangan kami turut menerima kesan daripada banjir yang melanda, dan kami amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh komuniti yang menerima nasib yang sama. Berpegang kepada matlamat kami dalam mencipta nilai dan menyumbang kepada masyarakat, kami akan meneruskan usaha meringankan beban mangsa-mangsa banjir, dengan menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi usaha-usaha bantuan banjir. Kami turut bersimpati dengan mereka yang telah kehilangan orang tersayang dan harta benda dalam bencana banjir ini.” Kata Pengarah Urusan CCC-ECRL Bai Yinzhan.

“Kami amat mengambil berat nasib beribu-ribu penduduk di negeri-negeri Pantai Timur yang menerima kesan akibat hujan lebat dan banjir ini. Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, sama ada mesin, tenaga kerja, bekalan makanan, peralatan kebersihan diri, dan sumbangan wang tunai untuk usaha-usaha bantuan dan pemulihan. Kami berharap agar keluarga-keluarga yang terlibat akan terus bertabah dalam menghadapi situasi mencabar ini, dan dapat membina semula kehidupan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MRL Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.

Kedua-dua syarikat ini akan terus memantau situasi banjir dan menyediakan bantuan sewajarnya.

MUAT TURUN KENYATAAN MEDIA

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress