Ke Atas

ECRL: Beri peluang kepada kontraktor G1

KUANTAN – Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Pahang berharap keputusan kerajaan meneruskan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut memberi manfaat kepada ahlinya melalui agihan projek yang sesuai dengan keupayaan mereka.

Yang Dipertuanya, Ramzul Ihsar Abdul Rahman berkata, ada di kalangan kontraktor kelas F atau G1 di negeri ini mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek bagi kerja-kerja pembersihan tapak untuk peringkat awal projek.

Menurutnya, ada di kalangan mereka memiliki jentera untuk kerja-kerja itu yang selama ini ‘tersadai’ disebabkan peluang projek yang amat terhad.

Beliau berkata, pada masa yang sama, ahli PKKF Pahang juga ada yang berkemampuan untuk melakukan kerja-kerja jalan, landskap, kerja-kerja elektrikal dan mekanikal untuk setiap hentian yang akan dibina di sepanjang jajaran ECRL di negeri ini.

“Seterusnya, apabila projek itu siap, kita juga berharap agar kerajaan memberi peluang kepada pembekal-pembekal Bumiputera untuk menjalankan perkhidmatan mencuci bangunan, perkhidmatan bekalan peralatan dan sebagainya.

“Apabila ada stesen-stesen ECRL ia memberi peluang kerja kepada kami untuk jangka panjang terutama bagi kerja-kerja penyelenggaraan sekaligus peluang ini sekurang-kurangnya dapat membantu ekonomi kontraktor Bumiputera,”katanya.

Ramzul Ihsar berkata, beliau yakin jika projek ECRL ini diurus tadbir dengan baik, ia akan memberi kesan besar kepada ekonomi penduduk termasuk peluang pekerjaan, membantu merancakkan industri pembinaan dan peluang ekonomi kepada peniaga kecil.

 
 

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress