KUALA LUMPUR: Kereta api penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat mencapai kelajuan maksimum 160 km/j dan bukan kereta api berkelajuan tinggi.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek ECRL, berkata laluan itu dijadual beroperasi secara komersial pada Januari 2027 dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor.
Katanya, infrastruktur rel meliputi kerja asas pembinaan, trek landasan dan sistem isyarat rel kereta api yang dibangunkan secara khusus pada kelajuan reka bentuk yang kurang daripada 200 km/j.
Semenjak perasmiannya pada Ogos 2017, katanya, projek ECRL merancang, mengurus dan melaksanakan infrastruktur rel berdasarkan kereta api laju untuk membawa penumpang dan bukan kereta api berkelajuan tinggi, iaitu piawaian industri menetapkan kelajuan sekurang-kurang 250 km/j.
“MRL ingin menyatakan reka bentuk jajaran rel Projek ECRL juga merangkumi lengkung mendatar dan ketinggian lengkung serta kecerunan yang tidak setanding dengan landasan kereta api berkelajuan tinggi, memandangkan sebahagian besar jajarannya di negeri Pantai Timur dibina di kawasan tanah yang bermasalah, menembusi kawasan berbukit dan lintasan sungai yang lebar.
“MRL ingin menekankan ECRL kekal sebagai kereta api laju bagi tujuan penumpang dan tidak boleh dinaik taraf atau bertukar menjadi sebuah kereta api berkelajuan tinggi di bawah spesifikasi kejuruteraan dan sistem pengendalian semasa.
“Laporan berita baru memetik seorang pakar dari China yang mencadangkan kelajuan ECRL boleh dipertingkat ke 351 km/j semasa forum ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam ASEAN’ tidak tepat dan mengelirukan,” katanya.
MRL memaklumkan, reka bentuk ECRL juga menitikberatkan pengangkutan kargo, sejajar dengan unjuran nisbah hasil 70 peratus perkhidmatan kargo dan 30 peratus penumpang semasa fasa operasi.
Katanya, perkhidmatan penumpang ECRL dikekang oleh keperluan reka bentuk kereta api kargo.
Jajaran ECRL, katanya, walaupun menggunakan landasan tolok standard (1.435 meter), mesti memenuhi operasi lokomotif dan gerabak yang membawa kargo pada kelajuan maksimum 80 km/j sahaja.
“Kereta api penumpang ECRL akan menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak dalam masa 4 jam,” katanya.
Sumber: Berita Harian