Letupan terakhir di Terowong Dungun pada 29 Mei lalu menembusi halangan yang terletak 12 meter dari pintu masuk terowong selepas kira-kira 641,520 jam masa kerja membabitkan 100 kakitangan ECRL, menggunakan kaedah gerudi dan letupan menembusi batu luluhawa sederhana.
Kerja penggalian bagi Terowong Dungun mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus, sebelum aktiviti penembusan dilakukan sementara lapisan kekal terowong mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang.
Dengan ketinggian 11.8 meter dan lebar 12.9 meter, Terowong Dungun dibina bagi mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan Kuala Dungun.
Mohd Zuki berkata, projek ECRL mempunyai 58 terowong di sepanjang seksyen jajaran ECRL yang merangkumi jarak 665 km.
Katanya, kerjasama padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan melancarkan kerja penggalian terowong sekali gus memastikan prestasi kejuruteraan seperti yang dijadualkan atau lebih awal daripada jadual.
“Kami berasa bangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal daripada jadual iaitu 22.62 peratus pada bulan Mei 2021 walaupun pandemik COVID-19 mengurangkan waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan yang juga kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan projek (EPCC) yakin kakitangan ECRL dapat melakukan kerja dengan baik walaupun di bawah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kakitangan kami memberikan usaha berterusan terhadap kontraktor tempatan dan rakan kongsi projek Bumiputera bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja, bahan dan jentera binaan apabila diperlukan.
“Kami berterima kasih terhadap sokongan dan kerjasama diberikan subkontraktor serta kakitangan seksyen empat terhadap dua pencapaian yang amat membanggakan dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.
Sumber : www.bharian.com.my