Ke Atas

ECRL rangsang pertumbuhan ekonomi Terengganu, sasar pelaburan swasta RM13.7 bilion menjelang akhir RMK12 – Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR 24 Nov – Kerajaan negeri Terengganu optimis nilai pelaburan swasta akan
meningkat sehingga RM13.7 bilion menjelang tamatnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)
sejajar usaha negeri memanfaatkan pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai
pemangkin pertumbuhan ekonomi.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keyakinan itu
dipacu kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) melalui
pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pembangunan Berorientasikan Transit
(TOD) di kawasan sekitar stesen ECRL di negeri tersebut.

Menurut beliau, MoU itu bertujuan memastikan pembangunan kawasan berimpak tinggi
dilaksanakan secara terancang, selaras dengan perancangan negeri serta strategi MRL.

“Antara bidang kerjasama utama ialah perkongsian maklumat dan perancangan, penyelarasan
pembangunan sekitar stesen, meningkatkan kefahaman mengenai pengurusan stesen ECRL,
serta menggalakkan penyertaan komersial dan aset pembangunan di kawasan berkaitan.

“Selain itu, kerjasama tersebut turut memberi penekanan kepada manfaat masyarakat setempat,
peningkatan akses perniagaan, perkhidmatan serta rangsangan aktiviti ekonomi di sekitar stesen
ECRL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis menandatangani MoU antara kerajaan negeri
Terengganu dengan MRL di sini hari ini.

Tambahnya, ekonomi Terengganu berkembang pada kadar 4.5% pada 2024, menyumbang 2.4%
kepada KDNK negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat meningkatkan sumbangan itu dengan memanfaatkan
projek ECRL sebagai pusat mobiliti baharu untuk pelaburan asing.

“Saya percaya dan yakin bahawa pelaksanaan dan operasi ECRL akan membawa anjakan yang
besar kepada ekonomi Negeri, termasuk pengurangan kadar pengangguran yang kini berada 2.9%
pada suku ketiga tahun 2025.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, inisiatif ini
dijangka memberi impak positif dalam mewujudkan pusat pertumbuhan baharu berteraskan
pengangkutan, ekonomi, pekerjaan, pelancongan dan kemudahan awam.

“Pembangunan TOD di stesen-stesen ECRL berpotensi meningkatkan nilai hartanah serta
merancakkan pembangunan ekonomi di kawasan sekitarnya.

“Inisiatif ini turut berupaya menarik pelaburan swasta dalam sektor komersial dan perumahan,
menjana peluang pekerjaan, serta merangsang aktiviti ekonomi baharu.

“Selain itu, TOD menyokong pembangunan bandar yang mampan, inklusif, dan mudah diakses,
sejajar dengan aspirasi membentuk komuniti yang bersepadu,” katanya.

Tambahnya, MRL kekal komited untuk bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Terengganu
dalam menyelaraskan perancangan pembangunan di sepanjang jajaran ECRL.

“Sebagai rakan strategik, MRL akan terus membantu mempercepat proses perancangan serta
penyelarasan teknikal bagi memastikan pelaksanaan TOD di enam (6) stesen ini selaras dengan
agenda pembangunan negeri, sekali gus memberi manfaat maksimum kepada komuniti
setempat,” katanya.

Projek ECRL merupakan antara projek infrastruktur nasional berimpak tinggi yang telah giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2017. 

Dengan skala pembinaan rel sepanjang 665 kilometer merentasi tiga negeri di Pantai Timur dan negeri Selangor, projek ECRL menjadi simbol komitmen tinggi kerajaan dalam memperkukuh jaringan pengangkutan strategik negara menerusi kerjasama erat Malaysia dan China. 

Sumber: https://www.dagangnews.com/

Pautan Berkaitan