Ke Atas

ECRL sempurnakan pemasangan penuh Sistem CIS pertama di stesen KotaSAS

KUALA LUMPUR 30 Mei – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan apabila
pemasangan penuh Sistem Komunikasi, Informasi dan Semboyan (CIS) berjaya disempurnakan di
Stesen ECRL KotaSAS, menjadikannya stesen pertama dilengkapi sistem berteknologi tinggi itu.

Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), Deng Bo
berkata, kejayaan dengan kerjasama Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik projek
menandakan permulaan pelaksanaan teknologi rel pintar di sepanjang jajaran 665 kilometer dari
Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.

“Sitem CIS berperanan sebagai ‘sistem saraf dan otak’ kepada operasi rel kerana ia menjamin
keselamatan, kecekapan serta kelancaran perkhidmatan kereta api menerusi pelbagai fungsi
pintar.

“Penilaian Artikel Pertama (First Article Assessment) yang dijalankan di Stesen KotaSAS menjadi
penanda aras penting dari segi kualiti dan kebolehlaksanaan untuk pemasangan sistem sama di
baki 20 stesen ECRL,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemasangan sistem itu bermula pada 15 Mac lalu dan disiapkan sepenuhnya 20 Mei, melibatkan
empat bilik teknikal utama yang mengendalikan rangkaian komunikasi, sistem data dan
pengawasan, kawalan pergerakan tren serta perlindungan kilat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, CIS akan
menjadi tulang belakang kepada fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) projek berkenaan.

“Sistem ini mengawal keseluruhan pergerakan tren dan operasi stesen dengan keutamaan kepada
aspek keselamatan, kecekapan, dan kebolehpercayaan.

“ECRL kini dalam fasa persiapan menjelang ujian dan pentauliahan yang dijadual bermula Jun
2026,” katanya.

Setakat April, projek ECRL mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.45% dengan negeri
Pahang merekodkan kadar penyempurnaan tertinggi iaitu 84.96%.- DagangNews.com

Sumber: https://www.dagangnews.com/

Pautan Berkaitan