Kota Bharu : Harga tiket bagi pengangkutan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diumumkan sebelum tarikh operasi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebelum mengumumkan harga tambang itu, ia perlu mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Tambang sudah tentu kita akan umumkan sebelum daripada tarikh pengoperasian ECRL. Namun, kita perlu mendapat kelulusan APAD.
“Sekarang ini, kita mahu memastikan kerja pembinaan dan pemasangan ECRL berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan ECRL Feeder Station 1 dan Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Loke berkata, sebelum operasi ECRL, pihaknya akan melakukan ujian pentauliahan secara menyeluruh.
“Ini penting bagi memastikan ECRL dapat berjalan dengan baik sebelum ia beroperasi sepenuhnya seawal Januari tahun depan.
“Kita harap semua memahami keadaan dan kita akan mengemaskini mengenai ECRL dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, ECRL akan menerima 11 set kereta api dengan setiap satu set mempunyai enam gerabak yang akan sampai di Kuantan, Pahang dalam tempoh dua minggu lagi.
Pada perkembangan yang lain ketika ditanya berkenaan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mahu projek ECRL disambung sehingga ke Rantau Panjang, Loke berkata, perkara itu belum dibincangkan lagi.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/