Ke Atas

Hukuman ringan punca pencuri kabel tidak serik ulangi jenayah

KUALA LUMPUR: Hukuman ringan ke atas pencuri kabel yang disabitkan kesalahan, dipercayai menjadi punca mereka tidak serik mengulangi jenayah berkenaan, meskipun syarikat pengangkutan awam rel rugi besar, manakala orang ramai berdepan kesulitan gangguan perkhidmatan.

Ini kerana hukuman penjara yang dikenakan adalah singkat, manakala denda pula rendah berbanding kadar ‘keuntungan lumayan’ daripada penjualan komponen kabel yang dicuri oleh individu terbabit.

Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar & Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar, berkata setakat ini, kebanyakan suspek yang ditahan hanya didakwa atas kesalahan menceroboh kawasan larangan.

“Kekangan kita adalah kebanyakan kes yang ditangkap bila dia mencuri kabel ini, denda yang dikenakan di antaranya ialah atas kesalahan trespassing atau menceroboh kawasan larangan.

“Hukuman untuk kesalahan trespassing ini tidak begitu berat. Mungkin denda di antara RM1,000 atau RM2,000 dan mungkin seminggu atau dua minggu hingga sebulan penjara.

“Hukuman sedia ada ini tidak mencegah (kecurian berulang).

“Ini kerana sindiket boleh meraih RM50,000 hingga RM100,000 dalam satu malam (berdasarkan nilai komponen yang dicuri), kemudian (kalau ditangkap) dikenakan denda yang tidak setara, sedangkan kerugian Prasarana di antara 2023 hingga 2025 mencecah RM20.3 juta,” katanya.

Difahamkan, walaupun suspek kecurian kabel sering disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya, namun lazimnya hanya didakwa mengikut Seksyen 447/448 kanun sama kerana menceroboh.

Lazimnya suspek yang mengaku bersalah menceroboh, hanya didenda di antara RM300 hingga RM1,000 atau tempoh penjara singkat, kebiasaannya beberapa hari hingga dua minggu.

Selain itu, ada juga suspek hanya didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil sebelum didenda RM200 hingga RM800 atau penjara singkat di antara tiga hari hingga dua minggu.

 Gesa pertimbang gubal undang-undang lebih tegas

Susulan hukuman ringan yang tidak menakutkan golongan pencuri terbabit, Idzqandar menggesa kerajaan mempertimbangkan penggubalan undang-undang yang lebih tegas bagi membanteras kes kecurian kabel, khususnya yang membabitkan sistem pengangkutan awam.

Tegasnya, tindakan undang-undang tidak sepatutnya tertumpu kepada pencuri kabel semata-mata, sebaliknya pembeli komponen curi itu juga perlu dihukum dengan lebih keras.

“Antara cadangan untuk memudahkan proses pendakwaan, di mana seseorang boleh dikenakan tindakan jika ditangkap berada di kawasan jajaran pengangkutan awam dengan peralatan mencurigakan, walaupun mereka tidak dilihat memotong atau memegang kabel secara langsung.

“Ketika ini, pihak berkuasa sering berdepan kesukaran untuk mendakwa suspek kerana alasan seperti kononnya peralatan dibawa untuk kegunaan kerja lain.

“Walaupun suspek ditahan bersama beg berisi peralatan (yang sering digunakan untuk mencuri kabel) proses pembuktian menjadi rumit dan akhirnya hukuman yang dikenakan menjadi ringan.” katanya.

Kecurian kabel ECRL di Terengganu meningkat kepada 18 kes

Kes kecurian kabel di jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu, meningkat daripada hanya dua kes pada 2024 kepada 18 kes sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata peningkatan kes kecurian yang berlaku sepanjang tahun lalu menyebabkan pemaju ECRL kerugian RM469,680 berbanding hanya RM2,500 pada tahun 2024.

Mohd Khairi, berkata kes kecurian kabel milik Telekom Malaysia (TM) pada tahun lalu juga turut meningkat kepada 61 kes dengan nilai hampir RM100,000 berbanding 22 kes bernilai RM45,303 pada 2024.

“Polis Terengganu dengan kerjasama ECRL, TM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menumpaskan lapan kumpulan dipercayai terbabit dengan kes kecurian kabel dengan empat individu ditahan pada 2024.

“Kita juga berjaya menumpaskan 15 kumpulan disyaki terbabit menjalankan kegiatan curi kabel dan menahan lapan individu dalam operasi yang dijalankan pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mohd Khairi berkata, kes kecurian kabel milik TNB juga turut meningkat daripada tujuh kes dengan kerugian RM44,950 pada 2024 kepada 10 kes dengan kerugian RM70,917 sepanjang tahun lalu.

“PDRM dengan kerjasama ECRL, TNB dan TM akan terus melaksanakan operasi khas termasuk melakukan risikan bagi membanteras kegiatan curi kabel di negeri ini.

“Operasi membabitkan premis membeli barangan lusuh dan terpakai akan dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan kecurian kabel,” katanya.

Mohd Khairi berkata, PDRM menggesa masyarakat dan orang ramai tampil menyalurkan maklumat terutama berkaitan dengan kes kecurian kabel.

“Kita akan berusaha memastikan pembanterasan secara holistik dapat dilaksanakan, terutama membabitkan kes kecurian kabel di negeri ini,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/

Pautan Berkaitan