JELEBU: Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berpendirian jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diubah ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan perlu dikekalkan.
Beliau yang juga Pengerusi UDA Holdings Bhd menyifatkan mengembalikan semula jajaran ECRL mengikut pelan asal dibimbangi akan memberi kesan pembangunan kepada daerah itu.
Justeru, beliau berharap sebarang perubahan atau penjajaran semula laluan ECRL selepas ini perlu diputuskan di peringkat Kabinet untuk dimuktamadkan.
“Kita menyambut baik apabila jajaran ECRL yang baharu itu melalui Jelebu kerana ia akan menjadikan daerah ini semakin maju dan tidak ketinggalan berbanding daerah lain. Tidak ada sebab mengapa ia perlu diubah kembali.
“Kita tetap mahukan projek ECRL itu melalui Jelebu memandangkan kebanyakan penduduk di daerah ini juga tidak sabar menanti projek berkenaan,” katanya ditemui pada program Jom Isi Minyak Motor Percuma peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di sini, hari ini.
Seramai 500 penunggang motosikal tidak melepaskan peluang mengisi minyak motosikal masing-masing dengan isian petrol bernilai RM5. Program itu diadakan setiap minggu membabitkan empat DUN di Parlimen Jelebu sehingga akhir tahun ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof; ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali dan Yang Dipertua PAS Jelebu, Norman Ipin.
Beliau mengulas laporan sebuah portal berita perniagaan yang menyebut Putrajaya sedang membincangkan kemungkinan mengembalikan jajaran projek ECRL kepada cadangan pertama di bawah kerajaan BN.
Cadangan pertama projek itu di bawah BN akan melalui Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak dan ke Serendah serta Pelabuhan Klang.
Bagaimanapun, PH mencadangkan jajaran ECRL itu tidak melalui Bentong dan Gombak sebaliknya melalui Negeri Sembilan di Klawang, Jelebu dan Nilai sebelum ke Pelabuhan Klang.
Jalaluddin berkata, beliau turut difahamkan cadangan untuk mengembalikan semula jajaran ECRL mengikut pelan asal adalah pandangan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, pemimpin Muafakat Nasional (MN) perlu memuktamadkan segera kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, ia perlu diputuskan segera sama ada dengan mewujudkan gabungan parti Perikatan Nasional (PN) atau menjadi rakan parti yang mesra MN.