Ke Atas

Jelajah Kerjaya Untuk Memenuhi 70% Keperluan Tenaga Kerja Bagi Projek ECRL

Kuala Lumpur, 21 November: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi jajaran sepanjang 640-km akan mengadakan jelajah kerjaya mulai Disember 2019. Jelajah kerjaya ini membuka peluang pekerjaan dalam bidang pembinaan dan industri rel kepada rakyat tempatan untuk turut serta dalam projek insfrastruktur terbesar negara pada masa ini.

Projek ECRL kini dalam usaha mengambil pekerja dalam pelbagai bidang dan jawatan merangkumi golongan profesional, pekerja mahir dan pekerja am kejuruteraan, pembinaan, quality assurance and quality control (QA/QC), kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), komersial, perhubungan awam serta pentadbiran pejabat.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) berkata, jelajah kerjaya ini merupakan salah satu usaha untuk menarik minat rakyat Malaysia menyertai projek ECRL. Projek ini mensasarkan 23,000 tenaga kerja menjelang kemuncak pembinaannya pada awal 2021.

Jelajah kerjaya ECRL akan bermula di kawasan yang terletak di laluan utama 223-km Dungun-Mentakab (atau Seksyen B). Tenaga kerja diperlukan dalam masa terdekat untuk memenuhi keperluan kerja-kerja pembinaan di 17 lokasi yang dijangka akan bertambah kepada 27 lokasi menjelang hujung tahun.

Jelajah kerjaya ECRL akan bermula di East Coast Mall, Kuantan, Pahang pada 5-8 Disember 2019. Ianya akan diteruskan ke negeri-negeri Pantai Timur dan Lembah Klang yang terlibat dengan rangkaian rel ECRL pada awal tahun 2020.

Rakyat Malaysia yang berminat untuk memohon jawatan-jawatan yang ditawarkan dalam projek ECRL boleh mendaftar secara terus dan menghantar resume untuk saringan awal oleh penemuduga di tapak pameran ECRL yang akan diadakan di East Coast Mall.

“Jelajah kerjaya ini selari dengan fungsi ECRL sebagai pemangkin yang merapatkan jurang ekonomi di antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Oleh itu, kita mengambil peluang ini untuk mewar-warkan kepada rakyat Malaysia akan peluang pekerjaan dalam projek ECRL yang sudah semestinya memberi keutamaan kepada rakyat tempatan. Pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Kompetensi Kemahiran (SKK) juga digalakkan memohon,” tambahnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Haji Darwis Abdul Razak berkata rakyat Malaysia yang berminat untuk menceburi industri rel dan pembinaan boleh mengambil peluang daripada jelajah kerjaya untuk membina kerjaya bersama ECRL. Ini adalah peluang keemasan untuk graduan baru, graduan yang masih belum bekerja ataupun pemegang sijil.

“Kita akan menggunakan pelbagai medium termasuk media sosial untuk menyampaikan maklumat ini kepada pekerja profesional, pekerja mahir dan pekerja am di Malaysia untuk menyertai projek ECRL. Selain itu, mereka yang bekerja dengan ECRL juga berpeluang mempelajari kaedah-kaedah pembinaan yang efisien dan mengetahui teknologi rel terbaru dari China,” jelas Darwis.

Darwis berkata, projek ECRL amat optimistik untuk mengambil tenaga kerja dari rakyat tempatan pada kadar yang optimum bagi membantu projek ini siap pembinaannya pada hujung tahun 2026. Untuk makluman, 70 peratus daripada anggaran 23,000 tenaga kerja akan diperuntukan kepada rakyat tempatan.

“Selain peluang pekerjaan, jelajah kerjaya ini turut memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk lebih memahami skala projek ECRL. Projek ECRL sememangnya memberi peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk tempatan semasa fasa pembinaan projek dan lebih 4,000 kekosongan semasa fasa pengoperasian dan penyelenggaraan,’ kata China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL).

Tambah CCCC-ECRL: “Diantara inisiatif penting dalam meningkatkan kemahiran rakyat tempatan dalam pembinaan dan penyelenggaraan rel adalah melalui Program Latihan Kemahiran Industri-Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) dimana program ini akan melatih lebih 5,000 pekerja mahir. Kami amat mengalu-alukan mereka yang berminat menceburi bidang rel untuk turut serta dalam projek mega ini.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama bagi projek ECRL. Projek ini dijadualkan siap pada Disember 2026 dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan WP Putrajaya dalam masa 4 jam.

-Tamat-

Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 ext. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 ext. 5835 / [email protected]).

MUAT TURUN KENYATAAN MEDIA

Pautan Berkaitan