KUALA LUMPUR 16 Jun – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menegaskan kadar tambang bagi
perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum diumumkan secara rasmi dan sebarang
maklumat yang sedang tular di media sosial ketika ini hanyalah spekulasi.
MRL dalam satu kenyataan berkata, kadar tambang sebenar yang akan dikenakan apabila
perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027 masih dalam proses penilaian dan belum
dimuktamadkan.
Menurut syarikat itu, kadar tambang berkenaan sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan
termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan ia kekal berpatutan,
kompetitif dan mesra pengguna.
“Sebarang kadar tambang yang sedang tular di media sosial tidak mewakili kadar sebenar yang akan
dikenakan apabila ECRL mula beroperasi kelak.
“Proses penetapan tambang sedang diperhalusi bagi memastikan ia selaras dengan matlamat
menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, MRL menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau
kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan.
Katanya, kadar tambang rasmi hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia
selepas proses penilaian dan kelulusan selesai dilaksanakan.
MRL turut menghargai minat serta keterujaan orang ramai terhadap projek ECRL yang kini
menghampiri fasa akhir pembinaan, namun meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi
menerusi saluran komunikasi ECRL, MRL dan Kementerian Pengangkutan.
“Insya-Allah, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat serta
menawarkan nilai terbaik kepada pengguna,” katanya.
Jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur iaitu
Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Apabila mula beroperasi pada Januari 2027, perkhidmatan itu dijangka menjadi pemangkin baharu
kepada pertumbuhan ekonomi wilayah dengan meningkatkan kesalinghubungan, memudahkan
pergerakan penumpang serta mempercepatkan aktiviti logistik dan perdagangan antara Pantai Timur
dan Pantai Barat.
ECRL juga dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira
empat jam berbanding sekitar tujuh jam melalui jalan raya ketika ini. – DagangNews.com
Sumber: https://dagangnews.com/