Ke Atas

Kemajuan ECRL sudah capai 89 peratus, operasi jajaran pertama bermula 2027

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai kemajuan keseluruhan 89 peratus setakat bulan Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd., Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pencapaian itu merupakan satu penanda aras penting kerana menghampiri sasaran 90 peratus menjelang akhir tahun ini.

Katanya, projek itu kini memasuki fasa baharu proses ujian dan pentauliahan yang dijangka bermula pertengahan tahun depan.

“ECRL dijangka memulakan operasi bagi jajaran Kota Bharu–Terminal Bersepadu Gombak pada Januari 2027, manakala jajaran fasa dua melibatkan Gombak–Pelabuhan Klang pula dijadualkan beroperasi pada Januari 2028,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Terengganu dan MRL di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut Darwis berkata, Terengganu muncul sebagai negeri paling maju dari segi pembinaan apabila jajaran sepanjang 242 kilometer merangkumi enam stesen di negeri tersebut telah mencapai 94.82 peratus kemajuan, tertinggi berbanding Kelantan, Pahang dan Selangor.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan kecekapan pelaksanaan dan komitmen pasukan projek di Terengganu yang berada di tahap terbaik.

Dalam pada itu beliau berkata, ECRL merupakan projek rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan taman perindustrian, pelabuhan, bandar utama dan zon pelancongan, diyakini mampu meningkatkan kesalinghubungan dengan rangkaian rel sedia ada di Semenanjung Malaysia serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Ujarnya, ECRL turut menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri Terengganu yang sejak April lalu menyatakan komitmen untuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di enam stesen dimanfaat sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan menarik lebih ramai pengunjung.

“Projek ECRL melakar satu lagi sejarah hari ini apabila kita menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Terengganu dan MRL,” kata Darwis.

Beliau menambah, kerjasama tersebut merupakan permulaan rasmi dalam memudah cara pelaksanaan konsep TOD di Terengganu dan membuktikan tahap persefahaman yang kukuh antara kedua-dua pihak dalam tempoh singkat.

Inisiatif itu katanya, dijangka memberi impak positif dalam pembentukan pusat pertumbuhan baharu berteraskan pengangkutan, ekonomi, peluang pekerjaan, pelancongan dan penyediaan kemudahan awam.

Sementara itu, Samsuri dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Terengganu menetapkan fokus baharu untuk membangunkan hampir 600 ekar tanah kerajaan yang telah dikenal pasti, dengan perancangan teratur serta berimpak tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Jelasnya, kerja-kerja pembersihan di beberapa kawasan utama seperti Cukai, Kemasik dan Dungun telah mula dijalankan sejak awal tahun ini, bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap perancangan pembangunan direalisasikan.

“Dengan sokongan struktur tadbir urus Transit Oriented Development (TOD) di setiap daerah terlibat, kerajaan yakin pembangunan dapat dijalankan secara tersusun, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri turut mengharapkan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan projek pembangunan itu berpotensi besar untuk menarik pelabur.

“Pada sesi hari ini sahaja, beberapa sesi pitching telah diadakan bersama pelabur berpotensi yang berminat melabur dalam pelbagai sektor di Terengganu, khususnya di kawasan pembangunan TOD.

“Usaha tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan pembangunan negeri yang diimpikan, sejajar dengan aspirasi menjadikan Terengganu sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing dan makmur,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/

Pautan Berkaitan