Ke Atas

Kemajuan projek ECRL capai kemajuan 90.81 peratus

KOTA BHARU: Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer (km) mencatat kemajuan keseluruhan 90.81 peratus setakat bulan lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kemajuan pembinaan itu menunjukkan tanda aras yang membanggakan kerana ia mengatasi sasaran projek 90 peratus untuk tahun lalu.

Katanya, prestasi kemajuan projek ECRL amat memuaskan tahun lalu yang didorong oleh penyiapan kerja pengorekan bagi kesemua 41 terowong, penyempurnaan kerja pemasangan landasan kira-kira 500 km dan pemasangan lebih 12,000 tiang Overhead Catenary System (OCS) bagi tujuan aliran elektrik.

“Pembinaan Stesen Kota Bharu mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.06 peratus setakat Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini.

“Stesen Kota Bharu merangkumi reka bentuk bangunan yang berteraskan konsep ‘Rumah Meleh Melayu’ dan ‘Bunga Ketam Guri’ serta menggunakan ciri-ciri unik kebudayaan Kelantan.

“Ia dibina di atas tanah seluas 20.94 hektar, stesen penumpang ini membabitkan platform bertingkat dan dilengkapi dengan kemudahan seperti eskalator, lif, lokasi pick-up dan drop-off, lebih 500 lot tempat letak kereta, laluan pejalan kaki berbumbung, kawasan landskap dan kuarters pekerja serta krew kereta api,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan ECRL Feeder Station 1 dan Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Loke berkata, ‘Feeder Station 01’ (FS01) yang menempatkan bekalan elektrik 132 kilovolt (kV) dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Tunjong ke FS01 berjaya diaktifkan lebih awal daripada jadual asal.

“Pengaktifan bekalan elektrik akan membolehkan keseluruhan aktiviti ujian dan pentauliahan di Stesen Kota Bharu serta peralatan tepi landasan dapat dijalankan lebih awal.

“Kita berpuas hati dengan pembinaan jajaran ECRL sepanjang 43 km di Kelantan yang mencapai kemajuan sebanyak 96.67 peratus sehingga Disember lalu.

“Jajaran ECRL di Kelantan membabitkan pembinaan Stesen Kota Bharu bagi kegunaan penumpang dan Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli bagi penumpang serta kargo,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan yakin fasa ujian dan pentauliahan secara menyeluruh dapat dilaksanakan bermula Jun depan bagi memastikan kesediaan sistem ECRL dapat berfungsi dengan lancar dan selamat.

Katanya, pihaknya optimis jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dapat disiapkan menjelang Disember depan dan dijangka beroperasi bermula Januari tahun depan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/

Pautan Berkaitan