KUANTAN: Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dijangka mencapai kemajuan 90 peratus menjelang 31 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata setakat bulan lalu, projek sepanjang 665 kilometer mencapai kemajuan keseluruhan 82.45 peratus.
Katanya, status kemajuan di Kelantan merekodkan 89 peratus , diikuti 91 peratus di Terengganu, 84 peratus di Pahang dan 67 peratus di Selangor.
“Dengan tahap kemajuan itu, ia menunjukkan projek ini berjalan mengikut perancangan iaitu siap menjelang Disember 2026.
“Berdasarkan skop keseluruhan projek kami usahakan dan komitmen bersama sokongan diterima daripada semua negeri, kami yakin dapat mencapai 90 peratus siap menjelang akhir tahun ini.
“Perkara utama ialah semua skop kerja projek berjalan baik dan serentak,” katanya pada sidang media pada Majlis Penilaian Artikel Pertama Sistem Komunikasi, Informasi dan Semboyan ECRL di Stesen ECRL KotaSAS, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Deng Bo.
Baru-baru ini, Kerajaan Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen ECRL hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kemudahan itu dijangka memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Darwis berkata, di Pahang, jajaran ECRL sepanjang 258 kilometer akan merangkumi tujuh stesen iaitu Cherating dan KotaSAS untuk penumpang saja, manakala stesen Kuantan Port City, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong menjadi stesen gabungan penumpang dan kargo.
“Sehubungan itu, MRL mengalu-alukan hasrat Kerajaan Pahang melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen ECRL di negeri ini.
“Kami difahamkan Kerajaan Pahang akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam lingkungan 15 kilometer dari setiap stesen ECRL,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/