Ke Atas

Kenyataan Akhbar Oleh Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Terhadap Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Berkenaan Jajaran Asal ECRL 

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menzahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap kenyataan media Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kerajaan Selangor bagi Infrastruktur & Kemudahan Awam YB Ir. Izham Hashim atas cadangan penjajaran semula Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). 

Dalam laporan media atas talian yang disiarkan pada Rabu 24 Mac 2021, YB Izham Hashim telah mengumumkan bahawa Selangor menyokong projek ECRL namun tetap mempertahankan pendiriannya agar ECRL merentasi laluan Selatan melalui Negeri Sembilan dan Putrajaya berbanding dengan laluan Utara melalui Gombak dan Serendah seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini. 

Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu sangat mengecewakan terutama setelah MRL sebagai pemilik projek telah kerap menjalankan sesi libat urus dengan badan-badan Kerajaan Negeri Selangor dalam masa 8 bulan yang lalu bermula dari bulan Jun 2020 hingga Februari tahun ini mengenai rancangan untuk penjajaran semula laluan ECRL ke jajaran asal. MRL juga telah memberi penerangan kepada semua agensi kerajaan di Selangor mengenai kelebihan dan manfaat cadangan laluan ECRL ke penjajaran asal yang juga merangkumi sambungan pintasan kereta api dari Serendah ke Pelabuhan Klang untuk KTMB. Malah sesi libat urus yang dijalankan telah mendapat maklumbalas yang membina dari Jabatan-jabatan teknikal dan agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor. 

MRL juga telah menangani semua masalah yang dibangkitkan oleh berbagai agensi Kerajaan Negeri dalam perbincangan penjajaran semula laluan ECRL ke jajaran asal dan telah memajukan cadangan penyelesaian serta langkah mitigasi yang antaranya melibatkan pengurusan alam sekitar, pengambilan tanah dan jalinan jajaran kereta api. Sebagai contoh, MRL telah mengemukakan jalan penyelesaian yang terperinci bagi isu Permatang Kuartza Gombak dengan mereka satu jajaran yang melalui sebuah jalan sedia ada bagi ECRL untuk melintasi permatang kuartza. 

Kemasukan laluan ECRL ke pematang kuartza tidak lagi menjadi sebarang isu. MRL percaya bahawa pertemuan dan sesi libat urus dengan pelbagai agensi negeri itu telah membuahkan hasil, dan berpendapat MRL telah mengemukakan perincian yang jitu mengenai rancangan untuk mewujudkan jalinan rangkaian rel yang bukan sahaja cekap dan menawarkan ketersambungan yang baik untuk ECRL dan KTMB malah, mengurangkan impak alam sekitar dan impak sosial terhadap penduduk. 

Justeru, MRL terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor yang telah mengetepikan perincian yang dimaklumkan oleh MRL kepada pelbagai agensi negeri serta Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) mengenai pentingnya penjajaran ECRL ke laluan asal. Keputusan oleh EXCO itu juga hanya akan melewatkan lagi proses pembinaan Bahagian C ECRL (Mentakab-Pelabuhan Klang) dan berpotensi melambatkan projek untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026. 

Sehubungan dengan itu, MRL berharap EXCO Selangor mempertimbangkan semula keputusannya berdasarkan kelebihan dan manfaat serta unjuran penyelesaian yang telah dikemukakan bagi penjajaran semula ECRL ke jajaran utara. Ini memandangkan penyelesaian dan rancangan mitigasi yang telah dicadangkan berupaya mengatasi semua kebimbangan mengenai alam sekitar dan kesan sosial pelaksanaan dan operasi projek. 

MRL juga ingin menegaskan bahawa pembinaan ECRL adalah kepentingan Nasional dan bukan kepentingan Negeri tertentu semata-mata. Ia diunjurkan sebagai “game changer” serta pemangkin pertumbuhan sosio-ekonomi yang berupaya mengurangkan jurang ketidaksamaan antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. 

-TAMAT- 

Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 ext. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 ext. 5835 / [email protected]). 

MUAT TURUN KENYATAAN MEDIA 

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress