19 MEI 2019
KENYATAAN BERSAMA MALAYSIA RAIL LINK SDN BHD (MRLSB) DAN
CHINA COMMUNICATIONS CONSTRUCTION ECRL SDN BHD (CCCC)
ATAS TAWARAN KHIDMAT PELOBI / EJEN KE ATAS KERJA-KERJA
AWAM PROJEK LALUAN REL PANTAI TIMUR (ECRL)
Merujuk kepada beberapa dokumen yang telah diviralkan menerusi media sosial, dengan kandungan seperti berikut:
MRLSB dan CCCC dengan serius menafikan sebarang penglibatan dalam mesej-mesej tersebut dan ingin menegaskan bahawa:
Seperti yang telah diumumkan baru-baru ini, MRLSB & CCCC kini sedang menjalankan program Pra-Kelayakan (Pra-Q) ECRL yang bertujuan untuk memberi peluang kepada semua kontraktor dari Gred G3 hingga G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan penarafan minimum 2 Bintang untuk mendaftar dan akan disaring untuk disenaraikan sebagai penender berpotensi bagi kerja-kerja awam ECRL.
Selain itu, CCCC juga telah mengiklankan program Pra-Q ECRL di akhbar-akhbar tempatan pada 13 dan 14 Mei 2019. Oleh itu, semua syarikat pembinaan dan kontraktor tempatan yang berkelayakan dan berminat untuk disenaraikan sebagai penender yang berpotensi untuk proses tender pakej kerja awam ECRL adalah digalakkan menyertai program Pra-Q dan mengemukakan permohonan mereka secara langsung di kaunter CCCC di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 29 dan 30 Mei 2019.
MRL dan CCCC dengan tegas mengulangi bahawa tidak pernah ada perlantikan ejen rasmi atau pelobi projek ECRL.
MRLSB dan CCCC komited untuk memastikan amalan tadbir urus dan etika kerja yang baik dipraktikkan dalam program Pra-Q dan penilaian kontraktor tempatan, untuk memastikan bahawa hanya yang benar-benar layak akan disenaraikan untuk proses seterusnya sebagai penender yang berpotensi.
MRLSB dan CCCC bersepakat untuk mematuhi piawaian akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi bagi tujuan memastikan projek ECRL menjadi penanda aras amalan integriti dan tadbir urus yang baik.
Oleh itu, kami ingin mendesak semua kontraktor untuk mengabaikan apa-apa mesej yang mendakwa mereka menerima apa-apa tawaran secara terus untuk projek ECRL serta mana-mana “pelobi” yang mendakwa bahawa mereka boleh membantu kontraktor mendapatkan status “terpilih” untuk projek-projek ECRL. Kami berharap agar mana-mana kontraktor tempatan yang menerima tawaran dan tuntutan tersebut dapat melaporkannya kepada pihak MRLSB dan CCCC untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. Tindakan undang-undang juga akan dipertimbangkan jika perlu bagi memelihara hak kami.
-Tamat-
Diedarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd.