Ke Atas

Kenyataan Media – Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Mempunyai Hak Dan Kepentingan Terhadap Semua Hasil Mineral Dan Galian Dalam Projek ECRL

 

23 APRIL 2019

Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Mempunyai Hak Dan Kepentingan Terhadap Semua Hasil Mineral Dan Galian Dalam Projek ECRL

 

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menafikan dakwaan bahawa China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mempunyai sebarang hak dan kepentingan terhadap hasil mineral dan galian di negeri-negeri terlibat semasa pembinaan projek ECRL sepanjang 640-km.

MRL ingin menekankan bahawa pembinaan projek ECRL yang kini menghubungkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya adalah tertakluk kepada Kanun Tanah Negara 1965.

Kanun Tanah Negara 1965 Seksyen 40, dengan jelas menyatakan bahawa semua galian dan bahan batuan yang terkandung atau berada di atas tanah adalah hak milik kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Negeri.

Berikut adalah ekstrak daripada Kanun Tanah Negara 1965, seksyen 40:

Seksyen 40 mengisytiharkan;- (a) semua harta dalam Tanah Kerajaan, (b) semua galian dan bahan batuan yang terkandung di dalam atau di atas mana-mana tanah (kecuali jika hak-hak ke atasnya telah dilupuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri) adalah terletak hak hanya kepada Pihak Berkuasa Negeri.

Justeru itu, kami menafikan dakwaan berita dan ulasan yang menyatakan bahawa hasil mineral dan galian seperti emas dan silika akan dimiliki oleh CCCC ketika pembinaan rangkaian rel ECRL.

Sama seperti mana-mana kontrak pembinaan, kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pelaksanaan (EPCC) bagi projek ECRL juga mempunyai klausa ‘Antiquities’ dimana semua barang antik dan harta berkepentingan yang dijumpai di tapak pembinaan akan dimiliki sepenuhnya oleh majikan tersebut, di dalam situasi ini ianya adalah MRL.

MRL juga menekankan sekali lagi bahawa syarikat MRL adalah pemilik penuh aset rangkaian rel ECRL dalam syarikat usahasama 50:50 yang akan ditubuhkan bersama CCCC untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL. Ini bertujuan bagi memastikan aset-aset di bawah projek ECRL adalah di bawah kawalan kerajaan Malaysia.

Sebagai anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), MRL juga menekankan bahawa pelantikan-pelantikan utama dalam Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi di dalam syarikat usahasama akan ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Sebagai pemilik aset dan projek ECRL, MRL menyangkal dakwaan berita dan ulasan yang mencadangkan bahawa Malaysia berisiko menggadaikan aset dan kedaulatan negara kepada negara China hasil daripada syarikat usahasama.

Tujuan utama syarikat usahasama antara MRL dan CCCC ditubuhkan adalah untuk perkongsian risiko operasi dan sokongan teknikal, Malaysia juga dapat memanfaatkan kepakaran operasi dan penyelenggaraan ECRL menerusi konglomerat yang disokong Kerajaan China.

MRL juga memaklumkan bahawa menerusi Memorandum Persefahaman (MoU), tiada jaminan pendapatan atau keuntungan daripada kerajaan Malaysia untuk usahasama MRL-CCCC dalam menguruskan operasi dan penyelenggaraan.

Justeru itu, pembahagian keuntungan dan kerugian syarikat usahasama tertakluk kepada MoU yang telah dipersetujui.

Melalui persefahaman yang telah dicapai, kerugian operasi ECRL akan ditanggung 50:50 diantara MRL dan CCCC. Namun, jika operasi mencatatkan keuntungan, 80 peratus keuntungan adalah milik MRL dan baki 20 peratus akan dimiliki CCCC.

 

-Tamat-

 

Diterbitkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 samb. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 samb. 5835 / [email protected]).

 

MUAT TURUN KENYATAAN MEDIA

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress