Kuala Lumpur, 10 Mei: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjangkakan penyertaan yang memberangsangkan dikalangan syarikat kejuruteraan, infrastruktur dan pembinaan seluruh negara untuk turut serta dalam program Pra-Kelayakan (Pre-Q) subkontraktor yang akan dianjurkan pada hujung bulan ini bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi jajaran sepanjang 640-km.
Notis pemberitahuan Pre-Q akan dikeluarkan oleh kontraktror kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) ECRL, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) di beberapa akhbar tempatan pada 13 Mei dan 14 Mei 2019. Pre-Q ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor di Malaysia yang layak untuk mengambil bahagian dalam 40 peratus kerja-kerja sivil projek ECRL.
Program Pre-Q ini adalah terbuka kepada semua kontraktor tempatan yang berpengalaman dan memegang Gred CIDB G3 hingga G7 dengan Penilaian Kapasiti dan Keupayaan Kontraktor (Score) sekurang-kurangnya 2 Bintang. Dokumen-dokumen untuk Pre-Q perlu diserahkan kepada pihak CCCC di kaunter yang akan dibuka di Sime Darby Convention Centre (SDCC) pada 29 Mei dan 30 Mei 2019.
Kami menyeru kesemua kontraktor yang berkelayakan dari seluruh negara untuk menyertai Pre-Q ini dan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ECRL. Ini adalah peluang yang terbaik untuk kontraktor-kontraktor di Malaysia kerana peratusan bagi kerja-kerja sivil untuk projek ini telah meningkat kepada 40% berbanding 30% sebelum ini.
Jawatankuasa Penilaian Pre-Q’ yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan MRL dan CCCC akan menilai semua penyerahan yang dibuat oleh kontraktor Malaysia dari program Pre-Q ini, sebagai usaha untuk mengenalpasti kontraktor tempatan yang layak ke fasa seterusnya dalam penyenaraian petender-petender berpotensi untuk kerja-kerja sivil pembinaan ECRL.
Jawatankuasa Penilaian Pre-Q’ akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan amalan tadbir urus dan kod etika yang tinggi semasa pra-kelayakan dan penilaian kontraktor tempatan. Hanya pemohon yang berjaya dalam Pra-kelayakan ini akan dimaklumkan mengenai tindakan seterusnya fasa penyenaraian subkontraktor ECRL.
CCCC berhasrat untuk sub-kontrak sebahagian pakej-pakej kerja sivil yang merangkumi kerja-kerja tanah, penambahbaikan tanah, cerucuk, struktur, jalanan, dan kerja-kerja bangunan di kawasan-kawasan jajaran ECRL.
Peningkatan peratusan penyertaan kontraktor tempatan untuk projek ECRL yang bernilai RM44 bilion turut dilihat akan memberi impak yang positif kepada sektor pembinaan tempatan dan sektor bahan pembinaan selain memberi kesan yang berganda kepada ekonomi Malaysia.
MRL dan CCCC amat optimistik dengan usaha ini kerana dengan pengetahuan dan kepakaran yang ada pada semua kontraktor Malaysia yang berpengalaman, projek ECRL dapat disiapkan pada tarikh yang ditetapkan iaitu 31 December 2026.
MRL, sebuah syarikat bertujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan adalah pemilik projek dan aset ECRL. Projek yang merangkumi jajaran sepanjang 640-km akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Selangor dan WP Putrajaya.
-Tamat-
Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 samb. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 samb. 5835 / [email protected]).