Ke Atas

Kenyataan Media : Skim Keretapi Penjajaran Semula Seksyen A Projek Ecrl Kota Bharu-Dungun Diluluskan

Kuala Lumpur, 18 Mei: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Skim Keretapi bagi penjajaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen A dan sekaligus membolehkan kerja-kerja pembinaan digerakkkan semula bagi jajaran sejauh 210.4 km dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek dan aset ECRL, memaklumkan bahawa pihaknya menerima surat pemakluman daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 14 Mei 2020 yang meluluskan cadangan penjajaran semula Skim Keretapi ECRL untuk Seksyen A oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini.

MRL memaklumkan bahawa kelulusan Skim Keretapi ECRL untuk Seksyen A akan merangkumi antara lain penjajaran muktamad, lokasi stesen penumpang/kargo, dan jumlah lot tanah yang akan diambil semula oleh pihak kerajaan bagi jajaran Kota Bharu-Dungun. Ini termasuklah, jajaran sisipan masa hadapan 14.4 km yang akan menghubungkan jajaran utama ECRL dengan pelabuhan Tok Bali.

“Jajaran ECRL kini mempunyai enam stesen di bawah Seksyen A yang terdiri daripada Kota Bharu dan Pasir Puteh di Kelantan serta Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, dan Dungun di Terengganu,” kata MRL dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MRL, sebanyak 2,974 maklum balas daripada responden telah diterima semasa Pemeriksaan Awam ECRL Seksyen A selama 3 bulan. Sebanyak 98% atau 2,914 responden menyokong penjajaran semula Kota Bharu-Dungun. Selebihnya 2% atau 60 responden yang keberatan dan menolak adalah pemilik tanah atau rumah yang harta tanahnya harus diambil untuk memberi laluan kepada projek ECRL.

Pengerusi MRL, Tan Sri Dr Ismail Bin Haji Bakar berkata, MRL berbesar hati menerima kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan untuk Skim Keretapi ECRL Seksyen A ini , kerana ianya membuka ruang penyambungan kerja-kerja pembinaan yang akan dimulakan dengan kerja-kerja persiapan dan kerja tanah untuk jajaran Kota-Bharu-Dungun bermula pada pertengahan tahun 2020.

“Kami juga berterima kasih dengan sokongan besar dari penduduk tempatan bagi penjajaran ECRL dari Kota Bharu ke Dungun. Sokongan tersebut membolehkan kerja-kerja di pejabat tapak dan kem satelit ECRL yang menempatkan tenaga kerja teknikal dan pekerja binaan di Seksyen A bersedia untuk memulakan kerja bagi menyiapkan jajaran ECRL yang terlibat” katanya.

Ismail menambah bahawa laporan Penilaian Impak Warisan (HIA) serta Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk Seksyen A ini telahpun menerima kelulusan daripada pihak berwajib baru-baru ini. Sementara itu, laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

Projek ECRL sepanjang 640 km terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab), dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang). Infrastruktur kereta api ini akan melintasi negeri-negeri Pantai Timur, Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkan dengan Negeri Sembilan, Selangor, dan WP Putrajaya.

Mengenai kemajuan ECRL, Ismail mengatakan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada pertengahan April 2020 telah meluluskan permohonan kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd, untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (MCO). Kadar pembinaan keseluruhan projek pada masa ini adalah 16% dengan tumpuan kerja-kerja pembinaan tertentu yang melibatkan terowong dan jambatan disambung semula di Seksyen B.

“Kami melihat kesan pandemik Covid-19 terhadap kemajuan projek ECRL pada tahap minimum memandangkan kerja-kerja pembinaan sudah berjalan lancar,” katanya sambil menambah bahawa kemajuan projek itu sedikit lebih awal dari jadual ketika MCO dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pemilik projek dan aset ECRL. Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL akan mengurangkan masa perjalanan dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan WP Putrajaya dalam masa lebih kurang 4 jam.

– Tamat –

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 samb. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 samb 5835 / [email protected]).

MUAT TURUN KENYATAAN MEDIA

 

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress