Ke Atas

Kenyataan Media YBhg Tan Sri Mohd Zuki Ali Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd Penyertaan Pemain Industri Pembinaan Tempatan Di Dalam Projek ECRL

 

Kuala Lumpur, 6 Januari 2021: Sejajar dengan kemajuan pesat pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) sebagai pemilik projek ECRL dan  China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sebagai kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan & Pentauliahan (EPCC), telah memulakan usaha proaktif bagi memastikan penyertaan kontraktor dan pembekal bahan binaan tempatan di dalam Projek ECRL terus diperkasakan.

Sasaran Penyertaan Tempatan

Pihak MRLSB dan CCCC telah mencapai persetujuan bagi CCCC untuk melantik sub-kontraktor dan pembekal tempatan untuk sekurang-kurangnya 40% daripada kerja-kerja sivil Projek ECRL yang tidak termasuk kerja-kerja terowong. Nilai kerja-kerja tersebut dianggarkan berjumlah sehingga RM10 bilion bagi pelaksanaan projek dari tahun 2017 sehingga 2026. CCCC juga telah bersetuju untuk memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor-kontraktor kecil bersaiz Gred G1-G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka serta keseluruhan pemain industri pembinaan dalam negara.

 Kemaskini penyertaan tempatan Projek ECRL

Setakat hari ini, sejumlah 403 kontraktor tempatan telah berjaya melepasi proses pra-kelayakan ini dan telah pun didaftarkan di sistem pendaftaran atas talian. Dari jumlah tersebut, 212 syarikat adalah kontraktor Bumiputera atau 52% daripada jumlah keseluruhan Pra-Kelayakan.

“Sejak dari pelaksanaan projek dari tahun 2017 sehingga 30 November 2020, sejumlah RM3.39 bilion nilai kontrak kerja-kerja ECRL (termasuk kerja-kerja sivil kekal dan sementara) telah diberikan kepada hampir 2,000 syarikat tempatan yang terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding. Dari keseluruhan jumlah tersebut, RM1.69 bilion adalah untuk kerja-kerja di Pahang, diikuti oleh Terengganu (RM1.40 bilion) dan Kelantan (RM0.30 bilion),” maklum YBhg Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Syarikat-syarikat tempatan yang telah dilantik oleh CCCC juga turut layak untuk memohon pembiayaan pinjaman projek dari SME Bank melalui MOU yang telah dimeterai sejak 18 November 2019 diantara MRLSB, CCCC dan SME Bank. Melalui inisiatif ini, kontraktor tempatan turut disokong dengan pilihan pembiayaan kewangan bagi memastikan pelaksanaan kerja-kerja yang menurut jadual dan menepati standard tinggi yang ditetapkan CCCC,” ujar beliau lagi.

Bagi memantau pencapaian penyertaan tempatan ini, sebuah Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

“Diharapkan dengan adanya Jawatankuasa Khas di peringkat Persekutuan, ia akan berfungsi dalam memastikan penyertaan yang efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan dalam Projek ECRL serta sebagai forum dalam mengetengahkan serta menangani isu-isu berkaitan penyertaan tempatan,” kata Tan Sri Zuki.

Inisiatif dengan Kerajaan Negeri

Selanjutnya untuk lebih mendorong penyertaan kontraktor tempatan dalam Projek ECRL, MRLSB dan CCCC telah bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri-Negeri yang berkaitan bagi menyediakan satu lagi platform untuk kontraktor tempatan menyertai Projek ECRL.

MRLSB, sebagai pemilik projek dan juga CCCC selaku kontraktor utama projek telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) Tiga Pihak dengan beberapa syarikat milik Kerajaan Negeri. MOU yang dimeterai ini bertujuan menjalinkan usaha sama antara pihak MRLSB, CCCC dan juga pihak Kerajaan Negeri dengan memanfaatkan sepenuhnya pelaksanaan projek ECRL di negeri-negeri terlibat.

Peluang terbuka luas kepada kontraktor tempatan dan bumiputera yang berdaya saing

Selanjutnya, Tan Sri Zuki juga berkata, “Selagi kontraktor tempatan kita mempunyai kemampuan, pengetahuan teknikal dan dapat menawarkan perkhidmatan mereka dengan harga yang berdaya saing, tiada sebarang halangan bagi CCCC untuk melantik kontraktor tempatan. Harapan kita adalah untuk Projek ECRL menjadi salah satu projek Kerajaan yang dapat memaparkan kemampuan kontraktor tempatan dalam melaksanakan dan memenuhi piawaian tinggi mana-mana projek infra berskala besar.”

“Dengan penyertaan kontraktor tempatan dalam pembinaan projek ini, ianya tidak hanya akan bertindak sebagai rangsangan kepada sektor pembinaan tempatan tetapi kita akan berusaha untuk memastikan sebanyak mungkin pemindahan teknologi memandangkan Projek ECRL dijangkakan menjadi salah satu projek kejuruteraan dan pembinaan yang paling mencabar di Malaysia.

“Oleh itu, harapan kita adalah agar kontraktor tempatan dapat memperoleh keuntungan dari pemindahan pengetahuan dan teknologi yang pada akhirnya akan memaksimumkan impak pelaburan Kerajaan di dalam suasana ekonomi negara yang mencabar ketika ini,” tambah Tan Sri Zuki.

Kemaskini peratusan kemajuan Projek ECRL

Dari segi kemajuan projek, pembinaan ECRL kini merekodkan kemajuan pembinaan yang lebih awal berbanding jadual didorongi oleh kerja-kerja pembinaan di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab). Pada masa ini, kadar kemajuan pembinaan keseluruhan projek adalah 19.69%. MRLSB menyasarkan kemajuan pembinaan keseluruhan mencecah 30% menjelang akhir tahun 2021.

MRLSB juga menjangkakan  pembinaan projek ECRL akan membawa manfaat besar kepada sektor pembinaan dan bahan binaan tempatan. Projek ECRL juga akan berfungsi sebagai penanda aras  penggandaan positif terhadap kemajuan serta kelestarian ekonomi negara.

-Tamat-

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 ext. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 ext. 5835 / [email protected]).

MUAT TURUN KENYATAAN MEDIA 

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress