Ke Atas

Maxis dilantik jadi penyedia infrastruktur, rakan telekomunikasi ECRL

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd dilantik secara rasmi oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai penyedia infrastruktur dan rakan telekomunikasi pilihan tunggal bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perkongsian strategik selama tempoh 10 tahun ini mengukuhkan peranan Maxis dalam memacu salah satu projek infrastruktur nasional yang terpenting di Malaysia.

Pelantikan dimeterai hari ini di stesen ECRL KotaSAS di Kuantan, sempena majlis ketibaan bersejarah Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Lokomotif Elektrik (E- Loco) projek ECRL.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Di bawah perjanjian ini, Maxis akan menerajui penyampaian ekosistem kesalinghubungan lengkap di sepanjang jajaran rel 665 kilometer.

Ini termasuk kesalinghubungan mudah alih dengan memastikan liputan mudah alih yang lancar untuk penumpang, termasuk di dalam terowong dan di semua stesen.

Selain itu, infrastruktur fiber bagi mengurus operasi, penyelenggaraan serta pengkomersialan aset telekomunikasi dan kapasiti fiber milik MRL.

Ia juga akan menyediakan WiFi berkelajuan tinggi di dalam tren dan penyelesaian jalur lebar untuk peruncit di stesen ECRL serta melaksanakan perkhidmatan mpush-to-talkm (PTT) perusahaan bagi meningkatkan komunikasi dan keselamatan anggota operasi rel.

Bagi memastikan kesalinghubungan universal, Maxis memeterai perjanjian dengan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) untuk bersama-sama membangunkan infrastruktur mudah alih baharu.

Kerjasama ini memastikan ECRL beroperasi sebagai rangkaian berkongsi, membolehkan pengguna daripada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) menikmati perkhidmatan tanpa gangguan.

Sebagai rakan utama, Maxis akan menyelaras dengan MNO lain untuk mengekalkan piawaian kualiti dan liputan yang ketat di sepanjang keseluruhan jajaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, berkata Maxis komited untuk menyokong projek ECRL dengan menyediakan kesalinghubungan yang pantas, diyakini dan selamat, yang memberi manfaat kepada operasi rel,penumpang serta ekosistem peruncit.

“Inisiatif ini selaras dengan agenda digital negara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) demi manfaat rakyat,” katanya.

Perkongsian ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah rangkaian pengangkutan yang bersepadu secara digital.

Dengan memanfaatkan rangkaian konvergen nombor satu miliknya, Maxis memastikan ECRL bukan sekadar penghubung pengangkutan, tetapi sebuah koridor digital yang memperkasa komuniti, perniagaan dan industri di seluruh Pantai Timur.

Sumber: https://www.bharian.com.my/

Pautan Berkaitan