Ke Atas

Mesin Pengorek Terowong Projek ECRL Tiba Dari China

Kerja Pengorekan Terowong Genting akan Bermula Suku ke-4 2021 

Pelabuhan Klang, 9 Julai 2021: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) meraikan satu lagi pencapaian penting dengan ketibaan mesin pengorek terowong (TBM) pertama seperti yang dijadualkan selepas menjalani ujian kilang yang menyeluruh di China. 

Mesin-mesin tersebut direka khas untuk kegunaan dalam keadaan batuan keras serta dilengkapi dengan 4 silinder tork. Setiap kepala TBM mempunyai berat 900tan dengan panjang 25meter dan diameter 8.98meter. Dengan gantri sokongan yang menempatkan bilik kawalan dan pencawang, mempunyai berat 1,600tan dan berukuran 266meter panjang, menjadikannya antara TBM yang terbesar untuk kerja mengorek terowong laluan rel di Malaysia. 

Dihasilkan oleh CCCC Tianhe Machinery and Equipment Manufacturing Co Ltd dari Shanghai, China, TBM telah melalui ujian audit kilang yang ekstensif, sebelum diceraikan kepada 286 pakej dan memulakan penghantaran dengan kapal pada 25 Jun 2021 dari Pelabuhan Shanghai dan tiba di Pelabuhan Klang pada 4 Julai 2021. Pakej yang terbesar antara semua adalah rasuk utama bahagian hadapan yang ukuran pengangkutannya seberat 135tan, 9.3meter panjang, 3.7meter lebar dan 4.6meter tinggi. 

Dalam tempoh 4 hari dari sekarang, satu konvoi trak dan pemuat rendah akan mengangkut TBM dari Northport ke Bentong, Pahang, melalui Lebuhraya Karak atau laluan alternatif yang melalui Tampin di Negeri Sembilan dan Muadzam Shah di Pahang bagi muatan yang besar. 

TBM akan dipasang semula dalam kawasan kerja kontraktor Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), dan menjalani ujian lanjut sebelum memulakan pengorekan Terowong Genting pada suku keempat tahun ini. 

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, projek ECRL telah memasuki fasa baharu dengan penghantaran TBM bagi memulakan kerja-kerja pengorekan terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer antara Bentong dan Gombak, selari dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 2 September 2020 yang telah bersetuju meluluskan jajaran Seksyen C kembali ke jajaran asal iaitu Temerloh – Gombak – Serendah – Pelabuhan Klang. 

“Projek ECRL menghargai serta bersyukur atas penghantaran TBM 

 canggih buatan negara China ini yang siap dikilangkan serta dihantar oleh CCCC berdasarkan jadual yang ditetapkan. Kami optimis bahawa mesin yang berteknologi tinggi ini dapat menghadapi cabaran dari segi kejuruteraan dan keadaan geologi semasa kerja-kerja pengorekan melintasi Banjaran Titiwangsa,” katanya. 

Tan Sri Zuki juga berkata adalah amat penting untuk memulakan kerja-kerja pengorekan bagi Terowong Genting secepat mungkin memandangkan ia merupakan komponen utama bagi projek ECRL yang akan melengkapkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang serta dapat terus menghubungkan para penumpang dari negeri-negeri Pantai Timur ke Gombak yang merupakan pintu masuk utama ke ibu negara. 

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, berkata, penghantaran TBM merupakan peristiwa penting bagi ECRL Seksyen C (Temerloh – Gombak – Serendah – Pelabuhan Klang) kerana mesin tersebut akan digunakan untuk mengorek tanah yang berbukit di sepanjang kawasan Bukit Tinggi bagi pembinaan terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer. 

“MRL amat berpuas hati terhadap TBM yang telah diuji dengan terperinci dari segi teknologi dan lulus Ujian Penerimaan Kilang (FAT) sebelum dibawa dari negara China. Kakitangan teknikal kami juga telah melakukan pemeriksaan TBM di kilang CCCC di Shanghai dan yakin terhadap kapasiti dan keupayaan mesin gergasi ini semasa operasi penggalian nanti,” katanya. 

“Terowong Genting merupakan terowong ECRL yang pertama dikorek menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang telah digunakan untuk terowong-terowong sedia ada bagi projek ECRL. Saya berkeyakinan penuh bahawa kakitangan ECRL mempunyai pengalaman dan bersedia mengendalikan TBM untuk mengorek terowong rel terpanjang di Malaysia apabila siap kelak,” tambah Dato’ Sri Darwis. 

Dengan kapasiti penggalian maksimum 700meter sebulan, TBM akan menjalankan 3 tugas utama bawah tanah; menggali terowong, mengangkut sisa galian ke permukaan, dan memasang panel konkrit sebagai dinding terowong. TBM dijangka memakan masa selama 3 tahun untuk melengkapkan penembusan Terowong Genting. 

Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL Bai Yinzhan berkata ketibaan TBM memberi isyarat bahawa aktiviti yang lebih giat untuk projek tersebut. 

“Dengan ketibaan TBM, kami menjangkakan akan meningkatkan jumlah tenaga kerja di Seksyen 7, Bentong untuk mengisi pelbagai kekosongan jawatan dalam bidang pengurusan dan bukan pengurusan seperti mandor dan operator kren. Bergerak ke hadapan, kami merancang untuk melibatkan lebih banyak tenaga kerja tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat di sepanjang jajaran. Pasukan kami sudah bersedia dan menantikan pentauliahan TBM dalam beberapa bulan akan datang,” kata Bai. 

“Pengendalian kargo projek ini memerlukan perhatian khusus, penilaian yang teliti dan perancangan terperinci sepanjang keseluruhan proses kerana ia melibatkan banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk memastikan operasi ini selamat dan berjaya. Bagi Northport, pengendalian TBM ECRL dikategorikan sebagai operasi penting dan kritikal kerana 

ia adalah kepentingan nasional. Oleh itu, kami telah menggerakkan sebilangan besar pekerja kargo konvensional yang mahir dan cekap untuk operasi ini, bagi memastikan pengendalian kargo yang selamat dan pada masa sama mengekalkan produktiviti pelabuhan kami. Northport sangat berbangga dan berbesar hati menjadi sebahagian daripada proses penghantaran penting ini,” kata Dato’ Azman Shah Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Northport (Malaysia) Bhd. 

MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), adalah pemilik projek dan aset ECRL sementara CCC-ECRL merupakan kontraktor EPCC. Dijangka siap pada Disember 2026, projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. ECRL akan mengurangkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam masa 4 jam. 

Muat Turun Kenyataan Media 

Pautan Berkaitan