KUALA LUMPUR, 2 Okt — Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) kini menjalankan pengambilan calon baharu bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL).
Kenyataan MRL hari ini menyebut program itu bertujuan mengambil dan melatih warga kerja tempatan dari negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk sektor pembinaan rel.
Katanya, program PLKI-ECRL juga menyasarkan pengambilan pekerja berpengalaman dalam pembinaan terowong, perawatan tanah, pembantu makmal uji kaji, bahan pembinaan, bengkel besi dan pekerja am dalam kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur.
“Calon-Calon yang berjaya akan didaftar masuk ke dalam PLKI-ECRL bagi kemasukan bulan November dan mereka perlu menjalani latihan di dalam kelas selama sebulan serta latihan di tempat kerja juga selama sebulan sebelum ditempatkan di tapak-tapak pembinaan ECRL,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata MRL memerlukan tenaga kerja yang mencukupi bagi memenuhi keperluan kerja-kerja pembinaan di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab).
“Kami bersyukur ECRL merekodkan kemajuan kerja-kerja pembinaan melebihi 18 peratus iaitu pencapaian yang lebih baik dari jadual asal pembinaannya dan kerja-kerja pembinaannya yang tidak terjejas dengan pandemik COVID-19.
“ECRL berhasrat memperuntukkan 70 peratus dari 23,000 tenaga kerja menjelang kemuncak pembinaan projek ECRL kepada warganegara Malaysia,” katanya.
Program pengambilan PLKI-ECRL terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, memiliki sekurang-kurangnya satu tahun pengalaman bekerja dalam bidang pembinaan.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui www.cccecrl.com atau www.mrl.com.my atau e-mel ke [email protected] atau menyerahkan permohonan di pejabat JobsMalaysia Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan selewat-lewatnya pada 12 Okt.
Sumber : www.bernama.com