KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) — Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan pembinaan keseluruhan sebanyak 94 peratus setakat Mei lepas dan dijadualkan memasuki fasa ujian serta pentauliahan sebelum memulakan operasi komersial pada Januari 2027.
Sehubungan dengan itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengambil inisiatif melancarkan Trak Pameran Bergerak ECRL 2026 hari ini bertujuan menyantuni masyarakat setempat serta meningkatkan kesedaran awam mengenai perkembangan projek berkenaan dan operasi masa hadapannya.
MRL dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran trak berkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRL Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak di Publika di sini.
“Program jelajah ini sebahagian daripada usaha berterusan MRL untuk memperkukuh libat urus awam bersama komuniti di sepanjang jajaran ECRL, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar di Pantai Timur.
“Di samping itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan awam seiring dengan kerja-kerja pengaktifan sistem elektrik Projek ECRL,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Shamsul Azri dalam kenyataan sama dipetik berkata ECRL adalah pelaburan jangka panjang negara yang
dijangka memperkukuh kesalinghubungan, merangsang pembangunan wilayah dan mewujudkan pertumbuhan ekonomi
yang lebih seimbang di Semenanjung.
Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen MRL terhadap ketelusan, keterangkuman dan penglibatan rakyat dalam pelaksanaan projek infrastruktur negara yang berimpak tinggi, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam pada itu, Darwis berkata menjelang fasa ujian dan pentauliahan, rakyat memerlukan sumber rujukan yang jelas dan
mudah diakses mengenai perkembangan projek serta manfaatnya kepada kehidupan harian mereka.
“Trak Pameran Bergerak ECRL menyediakan platform yang lebih mesra komuniti, membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat secara langsung, mengemukakan pertanyaan dan memahami peranan ECRL dalam memperkukuh kesalinghubungan, mobiliti serta peluang ekonomi di Pantai Timur,” katanya.
Trak berkenaan akan menjelajah lokasi terpilih dari 3 Jun hingga 15 Julai ini, bermula di Dataran Bentong, Pahang esok (4 Jun), diikuti Felda Mempaga (5 Jun), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah di Pekan (6 Jun) dan East Coast Mall, Kuantan pada 7 Jun sebelum ke lokasi lain di Pantai Timur.
Untuk maklumat lanjut mengenai jadual dan hentian akan datang, layari laman sesawang rasmi MRL di www.mrl.com.my dan ikuti saluran media sosial rasmi ECRL di Instagram, Facebook dan X.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu dijadualkan siap sepenuhnya bagi jajaran Kota Bharu-Gombak menjelang akhir tahun ini sebelum operasi komersial bermula pada Januari 2027 manakala jajaran Gombak-Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
— BERNAMA
Sumber: https://bernama.com/