“Bilangan kawasan kerja akan terus meningkat menjelang kemuncak pembinaan pada 2023. Sebanyak 23,000 tenaga kerja diperlukan untuk membangunkan projek ECRL dengan lebih efektif,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.
Ka Siong berkata, pelbagai kekosongan jawatan dalam bidang pengurusan dan bukan pengurusan akan dapat diisi serta memberi jaminan bahawa keperluan tenaga kerja tempatan akan meningkat sehingga 70 peratus kuota pada 2023, seiring perkembangan pembinaan yang bakal mencapai tahap kemuncak pada waktu itu.
Menyentuh perkembangan pembinaan Terowong Genting, beliau berkata, pemasangan mesin pengorek terowong pertama (TBM1) sudah siap menjalani ujian percubaan pada April lalu.
Terowong Genting adalah terowong ECRL pertama dikorek menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang digunakan untuk terowong ECRL sedia ada.
Katanya, pintu masuk portal satu di Terowong Genting juga sudah dikorek sepanjang 181 meter dengan kaedah gerudi dan letup bagi memudahkan mesin TBM1 yang mempunyai diameter 8.98 meter dibawa masuk ke lokasi ditetapkan.
“Projek ECRL juga berhasrat memasang semula mesin TBM2 dan menjalankan ujian percubaan sebelum akhir tahun ini, bagi melaksanakan kerja pengorekan di kedua-dua portal Terowong Genting.
“Kerja pembinaan di terowong berkenaan membuka fasa baharu dalam pembinaan projek ECRL dan kami yakin pembinaan terowong rel ini akan siap seperti dijadualkan,” katanya.
Kos Projek ECRL sepanjang 665 kilometer membabitkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion itu merangkumi kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.– BERNAMA