Ke Atas

Pemeriksaan Awam ECRL Bagi Jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang Bermula Pada 14 Januari

 

Kuala Lumpur, 10 Januari: Jajaran baru Mentakab-Pelabuhan Klang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan laluan selatan melalui Negeri Sembilan dan pusat pentadbiran kerajaan Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya akan dipamerkan di tapak Pemeriksaan Awam yang akan bermula pada 14 Januari 2020 (Selasa) nanti.

Menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), sepanjang Pemeriksaan Awam yang akan dijalankan selama 3 bulan, orang awam boleh mengambil peluang ini untuk memberi maklumbalas dan cadangan mereka terhadap cadangan jajaran baru dari Mentakab, Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor yang merangkumi laluan utama sepanjang 143.1 km, jajaran sisihan berukuran 41.5 km, lima stesen penumpang/kargo dan satu stesen masa hadapan.

Jajaran ECRL Mentakab ke Pelabuhan Klang (atau turut dikenali sebagai Seksyen C) akan mempunyai stesen penumpang dan kargo di Temerloh, Pahang dan di Jenjarom,Selangor serta stesen penumpang di Klawang dan Nilai, Negeri Sembilan dan di Putrajaya Sentral, WP Putrajaya.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memberikan kelulusan bersyarat kepada MRL untuk Skim Keretapi ECRL bagi Seksyen C baru-baru ini. Tapak pameran Pemeriksaan Awam bagi Seksyen C akan dibuka pada hari bekerja di ibu pejabat APAD di Kuala Lumpur dan di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya bermula dari 14 Januari 2020 hingga 14 April 2020.

MRL juga akan membuka lima lagi tapak pameran Pemeriksaan Awam di Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah di Temerloh (Pahang), Jelebu dan Seremban (Negeri Sembilan) serta di Sepang dan Kuala Langat (Selangor) bermula pada 20 Januari 2020 sehingga 14 April 2020.

Manakala, tapak pameran Pemeriksan Awam di lain-lain tempat akan dimaklumkan dari masa ke semasa sepanjang tempoh 3 bulan. Orang awam juga boleh melayari laman sesawang MRL (www.mrl.com.my) atau media sosial rasmi projek ECRL untuk mendapatkan maklumat terkini dan butiran lanjut mengenai Pemeriksaan Awam.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Dato’ Sri Haji Darwis Abdul Razak berkata, jajaran baru Seksyen C diperkenalkan bagi tujuan mengelak kos pembinaan Terowong Genting sepanjang 17.8 km yang sangat tinggi di bawah laluan asal ECRL serta mengelak Permatang Kuartza Genting Klang di Selangor yang kini dalam proses untuk dijadikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. 2

“Jajaran di Seksyen C adalah penting kerana ia berfungsi sebagai land bridge di antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang di mana rangkaian ECRL sepanjang 640 km akan tamat. Ini akan menghasilkan lebih banyak transaksi kargo kerana jangka masa perjalanan yang lebih pendek di antara dua pelabuhan tersebut,” katanya lagi dengan turut mengulas bahawa jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang yang melibatkan laluan selatan telah diteliti dari segi hubungan rel, kepentingan alam sekitar dan impak sosio-ekonomi.

Selain melibatkan lebih banyak negeri dalam rangkaian rel 640-km ECRL, Darwis berkata, jajaran Seksyen C akan membantu ECRL memanfaatkan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) dan perkhidmatan akan datang MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya Line (SSP Line) menerusi stesen pertukaran di Putrajaya Sentral untuk menghubungkan laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan daerah pusat perniagaan (CBD) di Kuala Lumpur.Menurutnya lagi, jajaran Seksyen C akan membantu melancarkan hubungan rel di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dimana pengguna ECRL turut boleh menggunakan perkhidmatan KTM Komuter dan Electric Train Service (ETS) melalui stesen ECRL di Nilai.

“Selari dengan Pemeriksaan Awam untuk Seksyen C, MRL sedang menyediakan Laporan Impak Alam Sekililing, Laporan Impak Sosial dan Laporan Penilaian Impak Warisan untuk pertimbangan pihak berkuasa yang berkaitan dalam proses mendapatkan kelulusan Skim Keretapi Mentakab-Pelabuhan Klang daripada APAD,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif MRL.

Darwis juga berkata, kerja-kerja awalan seperti kajian topografi sedang aktif dijalankan dibeberapa kawasan disepanjang jajaran Seksyen C sementara kerja-kerja penyelidikan tanah dijangka akan bermula tidak lama lagi. Sementara menunggu kelulusan bagi Skim Keretapi Seksyen C, kerja-kerja sivil dari Mentakab-Pelabuhan Klang termasuk kerja-kerja tanah dan kerja-kerja asas dijangka bermula dari Julai 2020.

“MRL amat berbangga dengan progres ECRL terkini yang telah meningkat kepada 14.49 peratus terutamanya dengan perlaksanaan kerja-kerja pembinaan di 27 lokasi di sepanjang jajaran dari Dungun ke Mentakab (turut dikenali sebagai Seksyen B),” tambahnya lagi.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama bagi projek ECRL. Projek ECRL sepanjang 640 km yang dijadualkan siap pada Disember 2026 ini akan merentasi negeri-negeri di Pantai Timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, WP Putrajaya dan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

-Tamat-

Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 ext. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 ext. 5835 / [email protected])

MUAT TURUN KENYATAAN MEDIA

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress