Ke Atas

Perubahan jajaran ECRL elak Banjaran Titiwangsa

SEREMBAN: Perubahan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilakukan bagi mengelak pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer (km) merentasi Banjaran Titiwangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perubahan itu membolehkan kos pembinaannya dikurangkan.

Malah, beliau berkata, langkah itu juga memanfaatkan lebih banyak negeri berbanding sebelumnya.

“Kita tukar masuk ke Negeri Sembilan. Daripada empat negeri, kita dapat lima negeri (dilalui ECRL),” katanya berucap pada ceramah Grand Finale sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, malam ini.

Dengan pembinaan jajaran baharu yang turut merentasi Negeri Sembilan itu, Loke berkata, lebih banyak manfaat diterima masyarakat setempat, terutama penduduk luar bandar.

“Kalau ada stesen yang dibina di negeri ini, sudah tentu akan membangunkan lagi kawasan luar bandar di Negeri Sembilan.

“Ini akan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Negeri Sembilan juga,” katanya.

Utusan Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin, terdahulu mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion.

Pada satu sidang media khas di Beijing, Daim berkata, China dan Malaysia bersetuju meneruskan projek kontroversi itu dengan formasi landasan berkembar.

Bagaimanapun, jarak jajaran sepanjang 688km itu dikurangkan sebanyak 40km kepada 648km.

Sumber: www.bharian.com.my

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress