Ke Atas

Kenyataan Akhbar YAB Perdana Menteri Mengenai Projek ECRL

Kenyataan Media oleh YAB Perdana Menteri

Tun Dr Mahathir Bin Mohamad Mengenai

 Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Bantahan utama Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah berkenaan prosedur dan kegopohan kontrak projek asal ECRL dirunding dan dimeterai pada tahun 2016. Ianya melibatkan jumlah kos lump sum yang tidak wajar dan sangat tinggi di samping kurangnya maklumat terperinci dari segi spesifikasi teknikal, harga dan justifikasi ekonomi.

Disebabkan kontrak asal dipersetujui atas landasan Government to Government (G2G), Kerajaan Pakatan Harapan terpaksa berunding dalam kekangan kontrak yang sedia ada untuk memperbaiki projek ECRL.

Dalam usaha memutuskan hala tuju Projek ECRL, Kerajaan PH mempunyai pilihan samada untuk berunding semula atau membayar pampasan sebanyak RM21.78 billion. Justeru itu, Kerajaan PH memilih untuk kembali semula ke meja rundingan dengan pihak Kerajaan China bagi mendapatkan tawaran lebih baik di mana keperluan rakyat diutamakan.

Hasil rundingan diantara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China, kedua-dua pihak berjaya mencapai persefahaman dalam bentuk perjanjian ECRL yang saling memanfaatkan iaitu perjanjian ECRL yang lebih baik.

Selaku Kerajaan Persekutuan, kami yakin ECRL akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan, terutama di negeri-negeri Pantai Timur walaupun ianya di bawah pemerintahan parti-parti pembangkang. Projek ECRL yang ditambahbaik ini akan menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang dan kargo disamping menarik pelaburan baru sepanjang koridor jajaran dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baru.

Penambahbaikan Projek ECRL

Sebagaimana yang telah diumumkan pada 12 April 2019, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah menandatangani satu Perjanjian Tambahan atau Supplementary Agreement (SA) bagi meneruskan projek ECRL. Selain itu, kedua-dua syarikat akan berkerjasama dalam pengurusan, operasi dan penyelenggaraan projek ECRL apabila ia siap kelak.

Perjanjian Tambahan (SA) Kepada Kontrak EPCC

Perjanjian Tambahan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan penauliahan (EPCC)  Fasa 1 dan Fasa 2 Projek ECRL telah ditandatangani dengan kos dikurangkan kepada RM44 bilion. 

Ini adalah satu pengurangan yang amat ketara sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada harga asal RM65.5 bilion.  ECRL yang ditambah baik akan dibina pada kos RM68.7 juta setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap kilometer di bawah perjanjian lama.

 Aspek Teknikal Utama

  • Landasan tolok standard (standard gauge track) dan landasan berkembar ECRL dikekalkan.
  • Landasan ECRL akan melalui 20 stesen, daripada Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan seterusnya melalui Jelebu ke Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral dan berakhir di Pelabuhan Klang. Justeru,  ECRL baru akan merentasi lima negeri dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berbanding empat negeri sebelumnya. Ini akan membuka peluang kepada lebih banyak negeri untuk meraih manfaat ekonomi hasil penerusan projek ECRL.
  • Laluan baru ke selatan masih mengekalkan hubungan langsung antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang, sekaligus menjadi jambatan darat diantara dua pelabuhan itu.
  • Jaringan baru ini juga akan memanfaatkan perkhidmatan KLIA Express Rail Link (ERL) sedia ada dan Laluan SSP MRT2 yang bakal disiapkan apabila sebuah stesen pertukaran bakal diwujudkan di Putrajaya Sentral. Ini akan menambahbaik jaringan perkhidmatan penumpang ECRL ke kawasan lain di Lembah Klang dan pantai barat Semenanjung disamping hubungan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Menerusi perjanjian lama, hanya satu stesen pertukaran menerusi LRT di ITT Gombak dirancang.
  • Perjanjian baru ECRL membolehkan penumpang KTM Komuter dan ETS untuk menggunakan perkhidmatan ECRL di stesen yang akan di bina di Bangi/Kajang.
  • Paling penting sekali, laluan baharu ini akan mengutamakan faktor penjagaan alam sekitar, budaya dan warisan dengan mengelak laluan melalui Klang Gates Quartz Ridge di Gombak, Selangor, yang merupakan permatang kuarza asli yang terpanjang di dunia.
  • ECRL sekarang dijangka akan siap dibina pada akhir Disember 2026, berbanding dengan unjuran asal pada Jun 2024.

Operasi & Penyelenggaraan

CCCC telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL melalui sebuah syarikat usahasama 50:50 yang akan ditubuhkan diantara MRLSB dan CCCC.

CCCC akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi setelah projek ECRL siap kelak. Kerjasama ini akan berpotensi meringankan beban kewangan Kerajaan yang dahulunya menanggung keseluruhan risiko operasi dan penyelenggaraan projek tersebut.

Sehubungan itu, Malaysia akan berpeluang mempelajari kepakaran operasi dan penyelenggaraan keretapi daripada China selain usahasama yang diyakini akan meningkat daya maju jangka masa panjang projek tersebut.

Kerajaan yakin penglibatan CCCC akan menjana kemasukan pelaburan baru sepanjang jaringan tersebut, terutamanya dari negara China.

Penglibatan Kontraktor Tempatan:

Bagi menyokong pemain industri pembinaan negara, kadar peratusan penglibatan kontraktor tempatan telah ditambah kepada 40 peratus bagi kerja-kerja sivil, berbanding dengan 30 peratus dahulunya.

Bayaran balik dari bayaran pendahuluan kepada CCCC

CCCC juga telah bersetuju untuk memulangkan sebahagian dari RM3.1 bilion bayaran pendahuluan yang telah dibuat untuk Fasa 2, Laluan Kembar dan Jajaran Sambungan Utara atau “Northern Extension” di bawah kontrak asal.

RM500 juta akan dibayar balik dalam tempoh seminggu dari tarikh tandatangan Perjanjian Tambahan, dan RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan dari 12 April 2019, menjadikan jumlah bayaran balik sebanyak RM1 bilion.

Baki pemulangan akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas ditolak dengan tuntutan-tuntuan CCCC berkenaan kerja-kerja yang telah dihentikan dan digantung, serta kos pembatalan Jajaran Sambungan Utara (Northern Extension).

Pengurangan Ketara Komitmen Kewangan Kerajaan daripada Kemudahan Pinjaman

Di bawah perjanjian asal ECRL, kos keseluruhan projek adalah RM66.78 bilion. Kemudahan pinjaman yang ditawarkan daripada China EXIM Bank untuk projek ECRL adalah 85 peratus kos projek atau RM56.7 bilion.

Di bawah kerajaan terdahulu, pinjaman yang sudah dimeterai dengan EXIM Bank ialah RM39.1 bilion untuk Fasa 1. Kita bernasib baik kerana baki pinjaman RM17.6 bilion untuk Fasa 2 bagi Jajaran Sambungan Utara (Northern Extension) belum ditandatangani.

Dengan kos ECRL kini di kurangkan kepada RM44 billion, jumlah pinjaman daripada China EXIM Bank akan juga dikurangkan. Jumlah sebenar masih dirundingkan dengan pihak China EXIM Bank, namun kita menjangka ia akan meringankan beban kewangan kerajaan dari segi pembayaran pinjaman dan faedah serta yuran-yuran lain.

Kesimpulan

Penambahbaikan ECRL adalah selaras dengan manifesto Kerajaan PH untuk mengkaji semula semua projek mega yang telah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu dan selaras dengan matlamat menyamaratakan peluang ekonomi antara pantai barat dan timur Semenanjung Malaysia.

Kejayaan rundingan untuk perjanjian baru ECRL yang bermula Julai 2018 menghasilkan penjimatan yang begitu besar kepada negara, yang sememangnya menjadi matlamat utama pentadbiran PH apabila membuka rundingan itu dengan pihak negara China.

Kami berharap kerajaan negeri Kelantan, Terengganu and Pahang akan merebut peluang-peluang yang bakal diwujudkan daripada projek ECRL dan memanfaatkan sepenuhnya pembangunan dan kemakmuran yang akan dinikmati rakyat dari hasil pembinaan projek ini.

Kerajaan PH ingin menekankan di sini bahawa bantahan terhadap projek ECRL adalah berlandaskan kepada kos projek asal yang terlalu tinggi seperti yang dipersetujui oleh pentadbiran BN, dan bukannya khusus kepada kewujudan projek ECRL itu sendiri.

Kami berterima kasih kepada Kerajaan China kerana mengambil berat situasi kewangan dan masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia, dan persetujuan Kerajaan China untuk menjalankan perundingan semula bagi projek tersebut.

Kerajaan Malaysia juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan perunding yang diketuai oleh YABhg Tun Daim Zainuddin di atas usaha komited dalam rundingan Perjanjian Tambahan dan usahasama Operasi & Penyelenggaraan ECRL bagi membolehkan projek ECRL diteruskan pada kos yang jauh lebih rendah untuk kebaikan, kemakmuran dan manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Tamat

Pautan Berkaitan

Popup Builder Wordpress