Kuala Lumpur, 2 Oktober: Program pembangunan modal insan projek Laluan Rel Pantai Timur iaitu Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) kini giat menjalankan pengambilan calon- calon baru program berkenaan yang bertujuan mengambil dan melatih warga kerja tempatan dari negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk turut serta dalam pembangunan sektor pembinaan rel.
Untuk pengambilan terkini, Program PLKI-ECRL mensasarkan pengambilan pekerja yang berpengalaman dalam pembinaan terowong dan perawatan tanah serta bagi mereka yang berminat untuk bekerja sebagai pembantu makmal ujikaji, bahan pembinaan, bengkel besi dan sebagai pekerja am dalam kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC- ECRL) berkata calon-calon yang berjaya akan didaftar masuk ke dalam PLKI-ECRL bagi kemasukan bulan November 2020 di mana mereka perlu menjalani latihan di dalam kelas selama sebulan dan latihan di tempat kerja bagi sebulan lagi sebelum ditempatkan di tapak-tapak pembinaan ECRL di Pantai Timur.
“Sukacita dimaklumkan bahawa pelatih-pelatih PLKI-ECRL yang berjaya menamatkan latihan program kelak akan terus ditawarkan peluang pekerjaan dibawah projek ECRL. Usaha ini adalah bagi memastikan bilangan tenaga pekerja tempatan yang mencukupi untuk projek ECRL pada masa terdekat dan akan meningkat tahap kebolehpasaran mereka dalam sektor pembinaan pada masa hadapan,” ulas MRL dan CCC-ECRL dalam kenyataannya hari ini.
Mereka turut menjelaskan bahawa program pengambilan PLKI-ECRL adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang memiliki sekurang-kurangnya satu tahun pengalaman bekerja dalam bidang pembinaan yang berkenaan.
Calon-calon boleh memohon secara atas talian melalui www.cccecrl.com atau www.mrl.com.my dan menghantar permohonan mereka melalui emel ke [email protected] selewat-lewatnya pada 12 Oktober 2020. Calon-calon juga boleh menyerahkan permohonan ke dalam kotak permohonan ECRL di pejabat-pejabat JobsMalaysia di Kota Bharu, Kuala Terengganu, dan Kuantan.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak berkata, tenaga kerja yang mencukupi perlu untuk memenuhi keperluan kerja-kerja pembinaan di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab) yang akan bertambah kepada 101 lokasi menjelang hujung tahun 2020 berbanding hanya di 27 lokasi bagi tahun sebelum.
“Kami bersyukur ECRL merekodkan kemajuan kerja pembinaan melebihi 18 peratus iaitu pencapaian yang lebih baik dari jadual asal pembinaannya dan kerja-kerja pembinaannya juga tidak begitu terjejas dengan pandemik Covid-19. ECRL mencatatkan kemajuan pembinaan 15 peratus pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada March 2020,” jelas Dato’ Sri Darwis Abdul Razak lagi.
Dato’ Sri Darwis juga menegaskan bahawa projek ECRL berhasrat memperuntukkan 70 peratus dari 23,000 tenaga kerja menjelang kemuncak pembinaan projek ECRL kepada warganegara Malaysia. Program pengambilan bagi PLKI-ECRL ini merupakan sambungan daripada jelajah kerjaya ECRL di Kuantan pada bulan Disember 2019 yang telah menarik pekerja-pekerja golongan profesional, pekerja mahir dan pekerja am bagi projek ECRL.
China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) pula berkata peluang pekerjaan ini adalah selari dengan komitmen CCC-ECRL untuk mengutamakan tenaga kerja tempatan dalam kerja-kerja pembinaan bagi infraktruktur rel. Di samping itu, semua calon yang diambil bekerja dari program pengambilan pada kali ini akan terlebih dahulu menerima latihan dibawah PLKI-ECRL agar lebih bersedia untuk menjalankan tugasan mereka kelak.
Menurut jurucakap Syarikat “CCC-ECRL berharap program PLKI-ECRL berjaya menarik lebih seribu pekerja-pekerja mahir dan am dari negeri-negeri di Pantai Timur yang pengalaman dalam industri pembinaan untuk turut serta dalam projek ECRL. Penglibatan mereka adalah penting untuk aktiviti pembinaan jajaran di Seksyen A dan Seksyen B yang kini sedang giat dijalankan,” Selain dari itu, CCC- ECRL juga memaklumkan bahawa program jelajah kerjaya ECRL akan diteruskan bagi memenuhi peluang kerjaya yang ada dalam projek ECRL kepada rakyat Malaysia.
MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama bagi projek ECRL. Projek yang dijadualkan siap pada Disember 2026 ini merangkumi rangkaian rel sepanjang 640-km dan dijangka merentasi negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
-Tamat-
Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 ext. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 ext. 5835 / [email protected])