Kuala Lumpur, 22 November: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengumumkan cadangan jajaran baharu dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu kepada orang awam semasa Pemeriksaan Awam yang akan bermula pada hari Isnin (25/11/19) ini.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, maklumbalas dan cadangan dari orang awam terhadap jajaran Kota Bharu-Dungun (Seksyen A) yang merangkumi 210.4 km laluan utama, cadangan jajaran sisihan untuk masa akan datang iaitu sepanjang 14.4 km dan enam stesen penumpang/kargo sepanjang 3 bulan Pemeriksaan Awam ECRL adalah dialu-alukan.
Jajaran baharu ECRL untuk Seksyen A mencadangkan dua stesen untuk Kelantan iaitu Stesen Kota Bharu dan Stesen Pasir Puteh, sementara di Terengganu akan mempunyai empat stesen di Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun. Cadangan jajaran sisihan sepanjang 14.4 km dijangka menghubungkan laluan utama ECRL di Kelantan dengan Pelabuhan Tok Bali.
Laluan utama Kota Bharu-Dungun atau Seksyen A yang berukuran 210.4 km akan melibatkan 43.9 km jajaran rel di Kelantan dan 166.5 km di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL Dato’ Sri Haji Darwis Abdul Razak berkata, cadangan jajaran baharu untuk Seksyen A adalah selari nilai kejuruteraan yang komprehensif yang membawa kepada penjimatan kos projek ECRL yang ditambahbaik. Jajaran baharu sepanjang 210.4 km ini juga akan dibina di kawasan pedalaman berbanding kawasan berhampiran pantai di Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya lagi, MRL telah menerima kelulusan bersyarat Skim Keretapi bagi Seksyen A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 4 November 2019 dan Pemeriksaan Awam dilakukan bagi memastikan projek ini turut mengambil kira pendapat dan jangkaan penduduk tempatan terhadap cadangan jajaran baharu.
Tapak Pameran untuk pemeriksaan awam bagi Seksyen A akan dibuka pada hari bekerja di ibu pejabat APAD di Kuala Lumpur dari 25 November 2019 sehingga 24 Februari 2020. Manakala, lokasi-lokasi bagi Pemeriksaan Awam di Kelantan dan Terengganu akan diumumkan dari masa ke semasa dalam tempoh 3 bulan.
“Kami percaya bahawa orang awam akan mengambil peluang ini untuk memberi pandangan mereka terhadap cadangan jajaran di Seksyen A semasa Pemeriksaan Awam dijalankan. Penduduk tempatan di laluan yang terlibat boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai projek ECRL dengan melayari laman sesawang MRL (www.mrl.com.my) atau media sosial rasmi projek ECRL,” tambah Darwis.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL berkata kerja penyelidikan dan kajian tanah sedang berjalan di sepanjang jajaran Kota Bharu-Dungun bagi memastikan cadangan laluan sedia untuk kerja-kerja pembinaan sementara menunggu kelulusan Skim Keretapi untuk Seksyen A.
“Penyediaan Laporan Impak Alam Sekililing (EIA), Laporan Impak Sosial dan Laporan Penilaian Impak Warisan bagi Seksyen A untuk diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan sedang dilakukan. Laporan-laporan ini merupakan antara prasyarat untuk mendapatkan kelulusan Skim Keretapi daripada APAD,” jelasnya lagi.
Darwis juga mengulas tentang perkembangan projek ECRL yang kini secara keseluruhannya telah siap 12.86 peratus berbanding 10.18 peratus pada Jun 2019. Kerja-kerja pembinaan ini melibatkan terowong and jejambat di sepanjang jajaran Dungun-Mentakab (Seksyen B) yang merangkumi 223-km turut berjalan seperti yang dirancangkan.
“Kerja-kerja pembersihan tapak dan kerja-kerja tanah sedang giat dijalankan di beberapa tapak pembinaan di sepanjang Seksyen B di mana tiada perubahan dari segi jajaran pada Skim Keretapi ECRL selepas penyambungan projek ECRL yang ditambahbaik pada April 2019 yang lalu,” ulas Darwis.
ECRL merupakan sebuah infrastruktur nasional yang menghubungkan bandaraya dan bandar-bandar serta menaiktaraf sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar di sepanjang 640 km rangkaian rel dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang. Projek ini akan merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan WP Putrajaya.
MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama bagi projek ECRL. Projek ini dijadualkan siap pada Disember 2026 dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan WP Putrajaya dalam masa 4 jam.
-Tamat-
Disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Rosmah Mahmud di (03-6411 5800 ext. 5830 / [email protected]) atau Yong Min Wei di (03-6411 5800 ext. 5835 / [email protected]).