Ke Atas

Projek ECRL berjaya capai penembusan 30 terowong

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merekodkan satu lagi kejayaan dengan penembusan tiga terowong dalam satu hari di daerah Bentong.

Ia menjadikan sejumlah 30 terowong di sepanjang jajaran ECRL selesai dengan kerja-kerja pengorekan setakat ini.

Tiga terowong ECRL iaitu ‘Terowong Bentong 1’ yang sepanjang 561 meter, ‘Terowong Kampung Lentang 1’ (270 meter) dan ‘Terowong Kampung Lentang 2’ (478 meter) telah berjaya mencatat penembusan lebih awal daripada jadual menerusi kaedah “gerudi dan letup” semalam.

Lapisan kekal untuk ‘Terowong Bentong 1’ telah mencapai tahap kemajuan sepanjang 348 meter sebelum penembusan, manakala troli lapisan terowong bagi kerja-kerja lapisan kekal ‘Terowong Kampung Lentang 1’ dan ‘Terowong Kampung Lentang 2’ sedang dalam penyediaan.

Setiap terowong mempunyai purata ketinggian 12 meter dan kelebaran 13 meter, sekaligus menyediakan ruang bagi pengoperasian landasan berkembar tolok standard apabila siap kelak.

Pembinaan terowong ECRL di daerah Bentong akan membolehkan landasan kereta api mematuhi kecerunan maksimumnya sebanyak 0.9 peratus serta mengurangkan penebangan hutan terbuka yang ketara dan meminimumkan kesan terhadap hidupan liar di kawasan tersebut.

Projek ECRL merangkumi pembinaan 41 terowong dengan jarak keseluruhan kira-kira 69 km di sepanjang jajarannya, di mana 21 terowong terletak di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab) manakala sebanyak 20 terowong berada di Seksyen C (Mentakab-Port Klang).

Daripada 41 terowong di sepanjang jajaran ECRL, kerja-kerja pengorekan bagi kesemua 21 terowong di Seksyen A dan Seksyen B telah selesai sejak Ogos 2023, manakala sembilan terowong di Seksyen C juga turut selesai sehingga kini.

Untuk rekod, Projek ECRL telah mencatatkan penembusan terowong pertamanya yang sepanjang 1.1 km di Terowong Paka, Terengganu pada April 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, Projek ECRL telah mencapai kejayaan baharu dengan 30 penembusan terowong di mana
pencapaian itu didukung dengan teknologi pengorekan terowong yang canggih serta dedikasi dan kerjasama erat pasukan ECRL di jajarannya sepanjang 665 km.

“Kami optimis pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke ITT Gombak akan siap pada Disember 2026, memandangkan kerja-kerja pengorekan terowong yang agak mencabar dan kebergantungan keadaan geologi telah berjalan dengan lancar dan mengikut jadual,” katanya bersempena dengan pencapaian terkini penembusan terowong di daerah Bentong.

Mengenai kemajuan Projek ECRL, Darwis berkata, ia telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 62.40 peratus setakat Februari 2024, disokong oleh kerja-kerja infrastruktur yang pesat termasuk pengorekan terowong, pelancaran rasuk jejambat, pemasangan landasan dan pembinaan stesen.

Projek ECRL disokong oleh 23,000 pekerja di kira-kira 1,900 tapak pembinaan di sepanjang jajarannya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), adalah pemilik projek ECRL manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) adalah kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ini.

ECRL dijadualkan beroperasi pada Januari 2027 dan dijangka dapat menghubungkan Kota Bharu ke ITT Gombak dalam masa 4 jam berbanding 7 jam melalui pengangkutan jalan raya atau lebih 12 jam semasa musim perayaan. – MalaysiaGazette

Sumber: malaysiagazette.com

Pautan Berkaitan