KOTA BHARU – Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan ketika ini sudah siap sebanyak 51.94 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kemajuan projek itu melibatkan kerja-kerja pemasangan rasuk jejambat, tambakan tanah, rawatan tanah dan penanaman cerucuk.
Menurutnya, kerja-kerja pemasangan rusuk jejambat telah bermula dari jambatan di Jerus, Pasir Puteh dan ketika ini sudah menghampiri kawasan Padang Raja, Melor.
“Kerja-kerja penambakan tanah meliputi 16 daripada 19 lokasi keseluruhan di negeri ini juga sudah bermula bermula.
“Selain itu, kerja-kerja rawatan tanah dan penanaman cerucuk bagi Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong dan kerja-kerja rawatan tanah untuk Stesen ECRL Pasir Puteh dekat Kampung Jeram juga sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Bersama ECRL di sebuah hotel di sini semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut, Darwis berkata, pembinaan projek ECRL di negeri Kelantan yang meliputi jajaran sepanjang 43.86 kilometer (km) dan ia dijangka siap menjelang akhir tahun 2026.
Menurutnya, pembinaan projek laluan ECRL melibatkan empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor ketika ini juga sudah mencapai kemajuan sebanyak 40.81 peratus.
Projek ECRL bakal beroperasi pada Januari 2027 melibatkan jarak jajaran 665 km mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara.
Sebanyak 20 buah stesen yang menghubungkan bandar raya, bandar-bandar dan taman-taman perindustrian dengan rel berkelajuan 160 kilometer sejam menerusi projek itu.
Sumber : www.kosmo.com.my