Ke Atas

Projek ECRL disasar capai kemajuan 37 peratus tahun ini

KOTA BHARU: Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disasar mencapai kemajuan infrastruktur sebanyak 37 peratus bagi tahun ini membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata proses pengambilan tanah di Kelantan siap sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Kelantan.

“Proses pengambilan tanah di Pahang dan Terengganu masih berjalan dan di Selangor pula prosesnya akan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan negeri itu baharu sahaja bersetuju menerima Jajaran Utara ECRL pada awal Disember lalu.

“Kerja-kerja infrastruktur ini merangkumi kerja-kerja tanah, kerja-kerja jambatan dan cerucuk di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang serta Selangor,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program ‘Mesra ECRL’ di Pusat Inovasi Kraf Batik dekat Tunjong, di sini hari ini.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer (km) yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 km serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 km dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadualkan siap pada Disember 2026.

Pembinaan membabitkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

 

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan ECRL di Kelantan sudah mencapai kemajuan sebanyak 16.34 peratus membabitkan kerja-kerja infrastruktur sehingga Disember tahun lalu merangkumi 18 lokasi di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya MRL optimis projek ECRL di Kelantan yang merangkumi jajaran sepanjang 43.86 km akan siap dibina mengikut jadual pada akhir 2026 dengan kerjasama dan sokongan padu dari kerajaan Kelantan serta maklum balas dan penerimaan positif oleh penduduk setempat.

“Di Kelantan terdapat dua stesen yang akan dibina iaitu di Tunjong (stesen penumpang) dan yang kedua di Pasir Puteh (stesen penumpang dan stesen kargo).

“Jumlah tenaga kerja bagi projek ECRL di Kelantan adalah seramai 672 pekerja yang mana 73 peratus terdiri daripada warga tempatan.

“Antara kelebihan lain yang boleh dilihat apabila ECRL ini siap ia akan menjimatkan masa perjalanan penduduk dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur yang hanya mengambil masa empat jam berbanding tujuh jam melalui jalan darat atau 12 jam ketika musim perayaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Darwis berkata, Program ‘Mesra ECRL’ yang diadakan selama dua hari di Kelantan bermula hari ini adalah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam menyantuni ekonomi setempat, sosial, rakyat dan alam sekitar.

“Sepanjang program ini berlangsung, pihak MRL turut mengambil peluang mengadakan sesi temu duga terbuka bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) untuk sesi pengambilan Mac 2022 dengan menawarkan jawatan juruteknik tapak binaan dan mekanik mesin jentera berat.

“Dalam masa sama, pelatih PLKI-ECRL yang berjaya menamatkan latihan dalam program ini akan dijamin penempatan sebagai sebahagian daripada tenaga kerja pembinaan infrastruktur mega ini bagi memastikan bilangan tenaga kerja tempatan mencukupi untuk projek ECRL yang dijangka mencapai pembinaan kemuncak pada 2023,” katanya.

Sumber : www.bharian.com.my

Pautan Berkaitan