Kuala Terengganu: Jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer membabitkan kos sebanyak RM50.27 bilion direka bentuk bagi mengelak kawasan hutan simpan, sumber air dan habitat hidupan liar.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, ia bertujuan meminimumkan sebarang kacau ganggu kepada alam sekitar.
Beliau berkata, projek ECRL juga mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) serta Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP).
Menurutnya, ia masing-masing dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi memelihara alam sekitar dan menjaga kepentingan orang awam semasa fasa pembinaan jajaran infrastruktur nasional itu.
Katanya, reka bentuk jajaran ECRL turut merangkumi pembinaan sebanyak 41 terowong, kira-kira 145 kilometer laluan bertingkat serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi strategik di sepanjang jajaran relnya.
“Pasukan projek ECRL juga bekerjasama dengan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) bagi memastikan ‘Pelan Pengurusan Hidupan Liar’ (Wildlife Management Plan) yang diluluskan untuk projek ECRL dapat dilaksanakan secara efektif.
“Inisiatif-inisiatif yang dijalankan termasuk tinjauan hidupan liar dan pemasangan perangkap kamera di sepanjang jajaran rel untuk mengenal pasti populasi hidupan liar.
“Pelaksanaan ‘Pelan Pengurusan Hidupan Liar’ ini penting terutamanya sebagai perlindungan kepada hidupan liar semasa fasa pembinaan projek ECRL serta daripada segi aspek keselamatan laluan kereta api semasa peringkat operasi tren ECRL kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemuliharaan Sungai Derhaka sempena Sambutan Hari Bumi 2024di Kampung Sungai Derhaka, di sini, hari ini.
Pada program itu, turut diadakan aktiviti membaling bebola lumpur mengandungi mikroorganisma yang berfungsi meningkatkan kualiti air sungai dan menguraikan segala bahan punca pencemaran di dalam air.
Turut diadakan, aktiviti menanam anak pokok nipah di tebing Sungai Derhaka dan penjualan minyak masak terpakai oleh komuniti Kampung Sungai Derhaka kepada kontraktor berdaftar.
Menurut Darwis, setakat April lalu, pembinaan projek ECRL yang membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 65.36 peratus.
Katanya, pembinaan Projek ECRL di Terengganu juga lancar dan mencapai kemajuan sebanyak 82.3 peratus sehingga April lalu.
“Tahap kemajuan projek sangat memuaskan akan membolehkan pembinaan jajaran infrastruktur nasional ini dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor disiapkan menjelang Disember 2026 dan pengoperasian ECRL bermula Januari 2027.
“Insya-Allah dalam masa 32 bulan sahaja, warga Kuala Terengganu dapat menaiki tren ECRL untuk ke ibu kota dengan masa perjalanan kurang tiga jam berbanding sekitar lima jam melalui jalan darat atau sehingga 10 jam semasa musim perayaan,” katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/