Kuala Lumpur: Kerajaan akan melakukan rundingan semula dengan China dan kontraktor utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung kos dan jadual projek membabitkan jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang.
Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata, langkah itu perlu dibuat susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menggantung jajaran asal Mentakab-Pelabuhan Klang yang melalui Bentong, Gombak dan seterusnya ke Pelabuhan Klang.
“Laluan asal Mentakab-Pelabuhan Klang ini sedang dikaji dan diperhalusi terutama laluan asal yang melalui Bentong, Gombak dan Pelabuhan Klang.
“Hasil rundingan dengan pihak-pihak berkenaan kemudian akan dibentangkan kepada kerajaan (kabinet) bagi memperoleh keputusan muktamad mengenai jajaran itu (sama ada akan mengikut laluan asal atau tidak),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Hasbi menjelaskan cadangan asal projek ECRL pada 2018 itu mengambil kira pembinaan sistem landasan bagi tolok meter untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan tolok standard bagi ECRL yang akan dibina dari Serendah ke Pelabuhan Klang.
Beliau berkata, stesen Serendah dikenal pasti sebagai stesen yang sesuai untuk pertukaran penumpang dan kargo antara KTMB dan ECRL.
“Menerusi kedua-dua perkhidmatan ini, ia secara tidak langsung akan dapat mengintegrasi serta meningkatkan jaringan rel antara negeri-negeri Pantai Timur dan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia,” katanya.
PH sebelum ini mengubah jajaran itu supaya tidak melalui Bentong dan Gombak yang bertujuan mengelakkan pembinaan terowong sepanjang 17.8 km yang melalui Ridge Quartz Klang Gates iaitu khazanah alam semula jadi rabung kuarza tulen.
Sebaliknya, jajaran yang bermula dari Mentakab itu akan menuju ke selatan iaitu melalui Kuala Klawang (Negeri Sembilan) sebelum memasuki Selangor melalui Bangi dan Kajang seterusnya menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.
Sumber : www.hmetro.com.my