Ke Atas

Rundingan ECRL hampir selesai

KUALA LUMPUR 31 Mac – Rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan Malaysia dan China hampir selesai dan kedua-dua negara telah mencapai keputusan untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.
 Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, beliau akan memberikan maklumat lanjut kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan berangkat ke China pada bulan hadapan.


“Pasukan dari China telah bekerjasama dengan pegawai Malaysia untuk beberapa projek dan hanya perbincangan mengenai beberapa isu kecil yang perlu diselesaikan.


“Kami hampir mencapai keputusan,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sunday Star hari ini.


Tambahnya lagi, syarikat China tidak melanggar kontrak sebaliknya adalah tugasan yang berat untuk meyakinkan mereka (rundingan semula).


“Mereka sangat memahami. Itulah cara anda mendekati mereka dan mereka memahami masalah kami.


“Jadi, mari duduk dan berbincang,” katanya.
Sebelum ini, Dr. Mahathir memberitahu, Daim dipilih untuk mengetuai rundingan dengan China berkaitan ECRL atas kepakaran dan kebolehannya. – UTUSAN ONLINE

 

Source: www.utusan.com.my

Pautan Berkaitan